PUTRAJAYA: Pertama kali menyambut lebaran sebagai suami isteri, pelakon, Syafiq Kyle, meraikan hari raya dengan sederhana tetapi manis.
Cerita Syafiq atau Mohd. Syafiq Shamim Abdul Razak, 32, raya menjadi istimewa apabila isterinya, Mimi Lana, memasakkan hidangan daging dendeng resepi keluarga untuknya.
“Mimi masak daging dendeng resepi ibunya.Tapi dia tak masak banyak pun sebab kami berdua sahaja.
“Jadi, semasa raya kedua dah habis. Memang sikit sangat,” jelasnya ketika ditemui di IOI City Mall, baru-baru ini.
Bukan itu sahaja, Syafiq juga bersyukur kerana dapat mengenali keluarga besar isteri setelah pulang ke kampungnya pada hari raya ketiga.
“Biasalah tahun pertama ada rasa kekok sikit tetapi saya gembira beraya di kampung.
“Persiapan kami pun sederhana, tiada perancangan lain atau buat apa-apa pun selain beraya di rumah saya dan dia.
“Saya rasa yang manisnya apabila dapat balik kampung berdua walaupun raya ketiga, bahkan lebih seronok bila tengok dia beraya dengan keluarga.
“Tahun pertama dapat beraya bersama keluarga besar isteri, saya kenal semua anak buah serta bapa saudaranya, menarik,” katanya.
Maklum akan komen nakal segelintir warganet yang cemburu akan foto mesra pelakon Nur itu dengan isteri, Syafiq bagaimanapun mengambilnya sebagai gurauan sahaja.
“Saya tidak terkejut sebab dekat dunia ini memang ada yang cemburu tetapi nak buat macam mana, doakanlah.
“Cemburu pun tak seronok juga tetapi yang cakap itu mesti bergurau sebab mereka pun peminat Mimi juga.
“Mereka suka apa yang mereka lihat, lebih kepada teruja untuk tengok dan komen. Saya tidak ambil hati,” ujarnya.
Terdahulu pada Februari, Syafiq dan Mimi sah bergelar suami isteri di sebuah majlis tertutup di Taiping.
Majlis tersebut hanya dihadiri keluarga dan kenalan rapat. – UTUSAN