“Satu keperluan paling mendesak dihadapi rakyat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu adalah isu kemiskinan. Ini bukan melibatkan kekurangan pendapatan semata-mata, malah ketidakmampuan sebahagian besar penduduk menampung kos kehidupan asas yang semakin meningkat.” kata (ADUN) Kuala Kubu Bharu, Pang Sock Tao.
Demikian perkongsian ADUN kawasan berkenaan, Pang Sock Tao ketika Mingguan Malaysia bertanya mengenai keperluan penduduk di kawasannya.

Dengan satu soalan bersahaja dalam pertemuan majlis Aidilfitri baru-baru ini, membuka lebih banyak dapatan bermakna mengenai rakyat Kuala Kubu Bharu.
Iyalah, penduduk di sana baru sahaja mempunyai wakil rakyat selepas kematian penyandangnya, Lee Kee Hiong (PH-DAP) pada 21 Mac tahun lalu yang berkhidmat sejak 2013 di sana.
Dalam tempoh dua minggu ini, genaplah setahun Sock Tao mewakili suara rakyat Kuala Kubu Bharu di DUN Selangor sejak menang kerusi itu dalam satu pilihan raya paling ‘panas’ Malaysia pada 11 Mei 2024.
Kini, beliau meneruskan khidmat bakti menggunakan acuan kepemimpinannya tersendiri dalam tempoh beberapa tahun mendatang.
“Selepas kemenangan dalam PRK, banyak perubahan berlaku dalam kehidupan saya terutama dari segi pengurusan masa kerana perlu membahagi masa antara keluarga, tugasan di kawasan dan urusan parti.
“Meskipun cabarannya besar, penghargaan dan ucapan terima kasih daripada rakyat merupakan motivasi utama yang menguatkan semangat saya untuk terus berkhidmat. Penduduk di kawasan ini sangat mesra dan terbuka, serta menerima kehadiran wakil rakyat dengan baik sejak awal pelantikan,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Perbualan kembali pada topik asalnya – kemiskinan, kata Sock Tao, sudah pasti ramai dalam kalangan penduduk sukar membayar kos rawatan kesihatan, sama ada di fasiliti awam mahupun swasta.
Bagaimanapun, katanya, komuniti Kuala Kubu Bharu terdiri daripada gabungan masyarakat bandar dan luar bandar seperti Batang Kali lebih bersifat bandar, manakala kampung-kampung seperti Kampung Pasir dan Kampung Jawa masih mengekalkan ciri luar bandar.
“Perbelanjaan mendapatkan rawatan perubatan, ubat-ubatan, serta kos pengangkutan ke hospital sering kali menjadi beban besar kepada isi rumah berpendapatan rendah.

“Keadaan ini lebih mencabar bagi warga emas, golongan Orang Kurang Upaya (OKU) serta mereka yang mempunyai penyakit kronik yang memerlukan rawatan berterusan,” katanya.
Katanya, kos pendidikan turut menjadi satu cabaran signifikan. Ini kerana, ramai ibu bapa tidak mampu menyediakan kelengkapan persekolahan mencukupi untuk anak-anak mereka seperti buku, pakaian seragam, alat tulis dan peranti digital untuk pembelajaran dalam talian.
“Hal ini boleh menyebabkan jurang pendidikan semakin melebar dan menjejaskan masa depan anak-anak di kawasan luar bandar,” katanya.
Menurutnya, tekanan kos sara hidup turut memberi kesan kepada keupayaan keluarga untuk memenuhi keperluan asas harian seperti makanan, tempat tinggal dan bil utiliti. Ada keluarga yang hidup dalam keadaan serba kekurangan dan memerlukan bantuan segera bagi meneruskan kehidupan.
“Pihak DUN menyalurkan sebahagian besar peruntukan kepada program bantuan kebajikan yang memberi tumpuan kepada meringankan beban kos perubatan, pendidikan, serta sokongan keperluan asas yang lain. Bantuan ini termasuk sumbangan kewangan kepada individu dan keluarga yang memerlukan, penyediaan program pendidikan komuniti, dan inisiatif kesihatan awam secara berkala.
“Pendekatan ini diambil sebagai langkah proaktif untuk memastikan tiada golongan tercicir daripada arus pembangunan dan kebajikan rakyat sentiasa menjadi keutamaan dalam pelaksanaan dasar di peringkat akar umbi,” katanya.
Dalam pada itu, Sock Tao berharap kerajaan negeri memberi perhatian sewajarnya kepada Kuala Kubu Bharu terutama dari segi mengekalkan keseimbangan antara pembangunan ekonomi dan pemuliharaan alam sekitar.
Jelasnya, satu projek Taman Automotif Berteknologi Tinggi (High-Tech Automobile Park) 200 hektar sedang dalam rancangan di Lembah Beringin yang dijangka mewujudkan banyak peluang pekerjaan berkualiti kepada penduduk setempat.
“Namun, terdapat isu berbangkit seperti kewujudan jalan persendirian sepanjang empat kilometer yang tidak dapat diselenggara kerajaan kerana terletak di atas tanah milik individu atau swasta.
“Maka, usaha agensi kerajaan mengambil alih jalan tersebut dan menyelenggarakannya sedang berjalan demi kemudahan rakyat,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berhasrat menjadikan Kuala Kubu Bharu sebagai destinasi percutian hujung minggu utama bagi warga Lembah Klang kerana hanya mengambil masa antara satu hingga satu setengah jam dari Kuala Lumpur.
“Ia menawarkan pelbagai tarikan alam semula jadi seperti Sungai Chiling, Bukit Kutu dan aktiviti lasak seperti paragliding. Potensi ekopelancongan ini mampu merangsang ekonomi setempat. Kawasan ini juga berpotensi dibangunkan dari sudut ekonomi dan pengeluaran,” katanya. – UTUSAN










