Menyamar jadi gelandangan untuk dapatkan bantuan

Menyamar jadi gelandangan untuk dapatkan bantuan

BEBERAPA individu yang dikesan berpura-pura sebagai gelandangan ketika tinjauan di sekitar Chow Kit dan Lorong Haji Taib, Kuala Lumpur. – UTUSAN/ISKANDAR ISHAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Beberapa ibu bapa tergamak membawa anak-anak mereka semasa menyamar menjadi gelandangan untuk dijadikan sebagai ‘senjata’ bagi mendapatkan bantuan serta simpati rakyat Malaysia.

Hasil tinjauan Utusan Malaysia di kawasan Chow Kit dan Lorong Haji Taib mendapati beberapa kumpulan ‘gelandangan’ hanya berlakon dan mereka bukan tergolong dalam kumpulan fakir miskin atau asnaf.

Mereka dikesan meletakkan kereta sejauh 500 meter dari kawasan gelandangan sambil membawa kotak yang akan dijadikan alas untuk duduk dan memimpin kanak-kanak usia seawal tiga tahun.

Malah, pemerhatian turut mendapati anak-anak mereka dilengkapi dengan telefon pintar dan menggunakan media sosial yang memerlukan internet, sementara ibu bapa sedang mengemis di pinggir jalan.

Perbualan akhbar ini dengan beberapa individu mendapati, mereka datang dari Shah Alam, Selayang dan beberapa kawasan lain.

Ketika ditanya mengapa mereka berada di situ, kesemua mereka gagap dan memilih untuk berdiam diri kerana takut.

Seorang aktivis sosial yang tidak mahu identitinya didedahkan memaklumkan bahawa situasi tersebut sering berlaku.

“Kita memang sudah selalu buat kerja dan beri bantan di sini, jadi kita tahu serta kenal siapa yang memang gelandangan atau fakir miskin di sini. Kami memang rasa perkara ini tidak patut kerana seolah-olah mereka merampas hak orang yang tidak sepatutnya,” katanya ketika ditemui.

Beliau berkata, terdapat individu yang tergamak menyamar menjadi golongan fakir miskin dan gelandangan demi mendapatkan bantuan, walaupun tidak berhak menerima kerana masih mempunyai kemampuan.

“Ada satu kes, kita beri bantuan dari segi makanan dan barangan keperluan asas, selepas wanita itu ambil, dia beredar dari kawasan berkenaan. Kita perasan, sebab tidak pernah nampak dia, jadi kami ekori beliau sebab nak tahu kebenarannya.

“Jadi kita nampak wanita itu menaiki kereta yang memang sedang menunggunya, jadi kami kepung kereta itu, wanita tersebut kata ia adalah pemandu e-hailing yang dipanggilnya tetapi apabila pemandu itu disoal, dia kata beliau merupakan anak kepada wanita itu.

“Ada juga apabila kita beri baju dan seumpamanya, tiba-tiba di kawasan ini ada banyak gelandangan iaitu lebih ramai dari kebiasaan. Apabila disoal, saudara atau kenalan mereka yang memang sudah di sini hubungi mereka beritahu pasal bantuan ini,” jelasnya.

Tambahnya, pihaknya tidak marah atau menghalang mereka daripada mengambil barangan bantuan sekiranya benar-benar berhak.

“Tetapi ada dari mereka, tidak berhak pun. Kami edarkan bantuan ini, ia merupakan tanggungjawab kami untuk menyalurkan bantuan kepada golongan yang memerlukan,” katanya.

Dalam pada itu, Dekan Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Datuk Dr. Mohd Izhar Ariff Mohd. Kashim berkata, perbuatan demikian tidak salah atau haram sekiranya bantuan itu disediakan kepada umum.

“Kita faham pada keadaan sekarang ini, ramai juga tidak mampu untuk makan dan minum, ada yang tidak mampu menguruskan kehidupan jadi dengan adanya bantuan-bantuan daripada orang ramai, walaupun mereka bukan gelandangan tetapi mungkin dari golongan asnaf.

“Jadi perkara ini tidak salah dan tidak jatuh haram, itu adalah rezeki mereka andai orang yang memberi tidak meletakkan syarat bahawa bantuan itu hanya untuk gelandangan semata-mata,” katanya.

Beliau berkata, galakan perlu diberikan kepada masyarakat terutama umat Islam untuk terus membantu golongan yang memerlukan dengan memberikan sumbangan sekiranya mereka mempunyai kemampuan.

“Alhamdulilah rakyat Malaysia kebanyakannya merupakan kumpulan masyarakat yang sangat prihatin, kita mudah untuk menghulurkan bantuan atau memberikan keperluan-keperluan yang diperlukan masyarakat kita. Jadi ini perlu diteruskan,” katanya ketika diminta mengulas. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN