PUTRAJAYA: Menara Kuala Lumpur yang ditutup sementara kepada umum sebelum ini akan beroperasi semula untuk kunjungan orang ramai bermula pukul 9 pagi esok.
Kementerian Komunikasi dalam kenyataan berkata, pembukaan semula Menara Kuala Lumpur itu selari dengan komitmen berterusan kerajaan dalam menjamin kesejahteraan pekerja terlibat.
Katanya, ia juga bagi menyediakan perkhidmatan serta persekitaran yang kondusif dan selamat buat pengunjung.
“Menerusi pengurusan baharu premis Menara Kuala Lumpur diterajui syarikat LSH Service Master Sdn. Bhd. (LSHSM), kerajaan komited memastikan penyampaian perkhidmatan efisien dan berorientasikan pelanggan.
“Ia dengan penambahbaikan berterusan kepada aspek keselamatan dan keselesaan yang boleh menarik minat pengunjung dari dalam dan luar negara,” katanya hari ini.
Sebelum ini, Menara Kuala Lumpur ditutup sementara waktu bagi menjaga keselamatan dan keselesaan pengunjung serta memberi ruang kepada pengurusan baharu membuat kerja penyelenggaraan dan penambahbaikan.
Kata Kementerian Komunikasi, kerajaan menegaskan bahawa Menara Kuala Lumpur ialah milik kerajaan di mana bermula 1 April lalu bangunan itu diambil alih oleh syarikat LSHSM yang akan mengendalikan aspek pengoperasian, pengurusan dan penyelenggaraan Menara Kuala Lumpur.
“Susulan itu, pendudukan syarikat Menara Kuala Lumpur Sdn. Bhd. (MKLSB) di atas tapak Menara Kuala Lumpur selepas 31 Mac 2025 adalah tidak sah,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE