Mata isteri Pakcik Petai kembali 'terang', selesai jalani pembedahan katarak

Mata isteri Pakcik Petai kembali ‘terang’, selesai jalani pembedahan katarak

K. SANGEETA memeriksa mata Astiah sambil ditemani Mohd. Noor dan Alice (kanan) selepas pembedahan katarak selesai di Hospital Columbia Asia Seremban hari ini. - UTUSAN/NOR SHAFAWATI YUP.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Penglihatan isteri kepada lelaki warga emas ‘Pakcik Petai’ kembali ‘terang’ selepas selesai menjalani pembedahan katarak mata sebelah kanan di Hospital Columbia Asia di sini hari ini.

Pembedahan ke atas Astiah Yaakob, 64, dijalankan oleh Pakar Perunding Oftalmologi, Retina Perubatan dan Uveitis, Dr. K. Sangeeta bermula pukul 9 pagi tadi dan selesai 30 minit kemudian.

Astiah yang ditemui kemudiannya bersyukur apabila proses pembedahan katarak berjalan lancar dan dan gembira penglihatannya matanya kembali pulih..

“Alhamdulillah, saya ucapkan terima kasih kepada semua pihak yang membantu (proses pembedahan).

“Sebelum ini, mata sebelah tu terang tapi sebelah lagi tak boleh memandang lama-lama berair, boleh nampak tapi kabus sikit. Itulah sebabnya nak buat pembedahan,” katanya ketika ditemui.

Sementara itu, Pakcik Petai atau nama sebenarnya, Mohd. Noor Sidek, 67, berkata, tiada yang dapat diucapkan melainkan berterima kasih kepada pihak hospital dan semua yang membantu pembedahan katarak mata isterinya secara percuma.

Lelaki itu yang kisahnya tular di media sosial sebelum ini berkata, kehidupan isterinya selepas ini akan lebih ‘bercahaya’ dan dia turut gembira apabila isterinya dapat menguruskan rutin harian dengan lebih baik.

“Mungkin kalau duduk di rumah dia (isteri) boleh menyapu sampah, masak nasi maksudnya rutin harian dia jadi lebih mudah dan teratur,” katanya.

Ketua Pengawai Eksekutif Hospital Columbia Asia Seremban, Alice Chong pula berkata, bantuan perkhidmatan dan pembedahan percuma itu diberikan sebagai salah satu program tanggungjawab sosial korporat (CSR).

“Kami akan meneruskan program CSR ini kepada orang kurang berkemampuan yang lain. Kami akan lihat masalah mereka dan bentuk bantuan perubatan yang boleh diberikan,” katanya.

Sebelum ini, tular di media sosial rakaman video yang memaparkan Pakcik Petai yang bertindak membuang kesemua jualannya di jalan raya sebagai tanda protes kerana tidak dibenarkan berniaga petai menggunakan motosikal.

Kejadian itu dipercayai berlaku di hadapan sebuah pasar raya di Port Dickson. Perkongsian video tersebut mengundang pelbagai reaksi orang ramai dengan majoriti meluahkan rasa simpati terhadap lelaki itu.

Warga emas berkenaan memberitahu dia berniaga kerana mahu mengumpul duit untuk pembedahan katarak mata isterinya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN