KEPALA BATAS : Masalah peribadi selain isu kewangan dikenal pasti sebagai punca seorang koperal maut selepas tertembak dirinya sendiri dalam kejadian yang berlaku di pos kawalan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, Selasa lalu.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad berkata, ketika ini, pihaknya sedang menunggu laporan lengkap daripada pakar perubatan berhubung kes itu sebelum merujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) untuk tindakan seterusnya.
“Setakat ini, sembilan individu juga telah direkod keterangan mereka bagi melengkapkan siasatan kes berkenaan termasuk bekas isteri serta rakan karib mendiang.
“Berdasarkan siasatan, memang mendiang ada masalah peribadi yang sedikit sebanyak ada kaitan dengan masalah kewangan juga,” katanya kepada pemberita ketika menghadiri Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri PDRM Kontinjen Pulau Pinang di sini, malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6.10 petang itu, anggota polis terbabit yang berusia 58 tahun cedera parah selepas dipercayai tertembak dirinya sendiri dengan sepucuk pistol sebelum disahkan meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Pulau Pinang (HPP), Khamis lalu.
Dalam perkembangan lain, Hamzah berkata, pihaknya kini sedang giat mengesan saki baki individu yang terlibat dalam insiden tetak seorang lelaki warga Myanmar di sebuah restoran nasi kandar di Taman Sepadu Jaya, Tasek Gelugor pada 7 Mac lalu.
Katanya, setakat ini, enam individu yang dipercayai terlibat dalam kes terbabit telah dikenal pasti iaitu terdiri daripada dua warga Myanmar serta empat warga tempatan.
“Bagaimanapun, tiada tangkapan baharu dibuat setakat ini dan kita masih mengesan beberapa lagi warga asing dan tempatan yang terlibat,” katanya.
Tambah Hamzah, pihaknya turut meminta bantuan daripada Bukit Aman untuk mengesan individu lain yang terlibat memandangkan kesemua suspek ketika ini dipercayai berada di lokasi lain iaitu selain Pulau Pinang.
Jelasnya, siasatan kes itu terpaksa mengambil masa yang agak lama memandangkan ia turut menarik perhatian umum selain keterangan-keterangan yang telah direkodkan juga perlu dilengkapkan dengan sebaik mungkin.-UTUSAN