TH umum agihan keuntungan esok - Utusan Malaysia

TH umum agihan keuntungan esok

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tabung Haji (TH) dijangka akan mengumumkan agihan keuntungan untuk 2023, pagi esok.

Tahun lalu, TH mengumumkan agihan keuntungan sebanyak 3.10 peratus bagi 2022 dan dimanfaatkan kira-kira 8.7 juta pendepositnya.

Agihan keuntungan bagi tahun lalu berjumlah RM2.65 bilion berbanding RM2.46 bilion pada 2021.

Sebelum ini, TH membuat agihan keuntungan selepas zakat masing-masing sebanyak 1.25 peratus pada tahun kewangan 2018, 3.05 peratus (2019) dan 3.10 peratus (2020 dan 2021).

Penganalisis ekonomi sebelum ini mengunjurkan agihan keuntungan yang lebih baik bagi 2023 didorong oleh prestasi positif dalam pasaran tetap dan sukuk.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd., Dr. Mohd. Afzanizam Abdul Rashid berkata, kebanyakan aset pelaburan TH adalah dalam pasaran sukuk.

“Dividen TH diunjurkan sama seperti 2022 atau meningkat sedikit antara 3.1 hingga 3.3 peratus,” ujarnya.

Sementara itu, Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid turut menjangkakan dividen TH untuk tahun lalu di antara 3.0 peratus ke 3.3 peratus, iaitu setelah ditolak kadar zakat 2.5 peratus.

“Tahun 2023, bantuan bayaran haji yang dikeluarkan TH adalah sebanyak RM265 juta dan jumlah bantuan kewangan haji dijangka meningkat bagi tahun 2024 berdasarkan kos kenaikan ke atas setiap jemaah haji.

“Bantuan secara bersasar ini dilihat berkesan bagi mengurangkan beban tanggungan TH yang terlalu tinggi dan perlu diseimbangkan. Ini kerana, TH juga perlu membayar agihan keuntungan kepada hampir 8.7 juta pendepositnya,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN