Malaysia tuntut noktahkan kezaliman di Gaza

Malaysia tuntut noktahkan kezaliman di Gaza

AZALINA Othman Said
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia menyeru masyarakat antarabangsa untuk menoktahkan tindakan tidak berperikemanusiaan tentera Israel termasuk menyekat sepenuhnya bantuan kemanusiaan dan bekalan elektrik ke Gaza. 

Pendirian itu dinyatakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said semasa mewakili Malaysia menyampaikan Kenyataan Lisan pada sesi pendengaran awam di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) di The Hague, Belanda semalam. 

Beliau berkata, Malaysia berdiri teguh dan bersolidariti dengan nasib penduduk di Wilayah Palestin yang diduduki (OPT) yang ditindas menerusi siri serangan berterusan oleh rejim Zionis. 

“Malaysia menegaskan tingkah laku Israel di OPT sebagai satu tindakan dirancang yang menghalang hak rakyat Palestin untuk menentukan nasib sendiri.

“Israel bukan sahaja telah lama gagal membekalkan keperluan asas kepada OPT, bahkan memusnahkan sumber di wilayah berkenaan secara melulu, termasuk kemudahan pendidikan dan kesihatan yang penting.

“Malaysia hari ini berdiri bukan sekadar sebagai ahli Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), tetapi sebagai suara keadilan yang melaungkan penderitaan sebuah bangsa yang berhak, tempat tinggal dan masa depan mereka yang kini sedang dirobek di hadapan mata dunia.  

“Sejak Februari 2024, keadaan di OPT bukan sahaja semakin merosot, malah mengheret ke tahap pemindahan dan pemusnahan yang diumumkan secara terbuka dan penuh kezaliman,” katanya.

Azalina berkata, Israel bertindak biadab apabila menggubal undang-undang untuk mengharamkan operasi Agensi Bantuan dan Kerja PBB (UNRWA) bagi pelarian, sekali gus memutuskan talian hayat kemanusiaan utama untuk orang awam.

Jelasnya, tindakan Israel terhadap PBB dan UNRWA di OPT bukan sahaja pelanggaran terhadap tanggungjawabnya sebagai kuasa yang menduduki, malah sebagai ahli PBB sendiri.

“Malaysia berasa sedih kerana semua ini berlaku walaupun terdapat Perintah Langkah Sementara yang dikeluarkan oleh Mahkamah Yang Mulia ini dalam kes yang dimulakan oleh Afrika Selatan terhadap Israel serta terdapat Pendapat Nasihat bertarikh 19 Julai 2024,” tegasnya. 

Menurut Azalina, pendirian dizahirkan Malaysia melalui kenyataan berkenaan jelas dan terang, berdasarkan kenyataan sebelum ini dan Pendapat Nasihat Mahkamah pada 2024.

Pertama, katanya, tanggungjawab Israel sebagai kuasa yang menduduki seperti yang dihuraikan dalam Kenyataan Bertulis Malaysia dan seperti yang akan diringkaskan dalam pembentangan yang ditetapkan untuk memberikan perlindungan kepada rakyat yang berada di bawah penjajahan asing.

“Kedua, tanggungjawab Israel sebagai ahli PBB ditetapkan demi mencapai matlamat pertubuhan itu, iaitu untuk membangunkan hubungan persahabatan antara negara berdasarkan prinsip hak sama rata dan penentuan nasib sendiri.

“Ketiga, dasar dan amalan terkini Israel terutamanya berkenaan dengan UNRWA bukan sahaja merupakan pelanggaran terhadap tanggungjawabnya sebagai kuasa yang menduduki dan sebagai ahli PBB, sebaliknya jika dilihat secara keseluruhan ia juga pelanggaran serius terhadap keempat-empat aspek hak rakyat Palestin untuk menentukan nasib sendiri seperti dihuraikan mahkamah dalam Pendapat Nasihatnya pada 19 Julai 2024,” katanya.  – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN