PUTRAJAYA: Malaysia memuji tindakan berani Maldives yang secara rasmi melarang pemegang pasport Israel daripada memasuki negara itu, sebagai tanda solidariti terhadap rakyat Palestin di sebalik kezaliman rejim Israel sejak perang tercetus pada 7 Oktober 2023.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan sokongan itu ketika dalam sidang akhbar bersama bersempena lawatan sulung Presiden Maldives, Mohamed Muizzu ke negara ini hari ini.
Anwar berkata, begitu juga Malaysia tidak memberi pengiktirafan kepada Israel sejak kemerdekaan terutama atas keengganan rejim zionis itu untuk menghormati hak asasi manusia dan patuh kepada komitmen antarabangsa menghentikan genosid di Palestin.
“Kami mahu Israel menghentikan pembunuhan beramai-ramai di Palestin dan khususnya Gaza.
“Kami berkongsi sentimen dan aspirasi yang sama dan saya telah menyatakan bagi pihak kerajaan dan rakyat Malaysia bahawa kita pastinya memberi penghormatan tinggi dan mengiktiraf keberanian dan prinsip Presiden Maldives,” katanya dalam sidang akhbar bersama di bangunan Perdana Putra di sini hari ini.
Pada 16 April lalu, Presiden Maldives menandatangani langkah sekatan kemasukan pemegang passport Israel ke negara itu sebagai undang-undang selepas ia diluluskan oleh Parlimen negara berkenaan.
Keputusan itu mencerminkan kecaman negara kepulauan di Lautan Hindi tersebut terhadap apa yang digambarkan sebagai `kekejaman berterusan’ Israel terhadap rakyat Palestin.
Dalam pada itu, Mohamed Muizzu berkata, beliau kagum dengan pendirian berprinsip Anwar terhadap perjuangan rakyat Palestin yang senada dengan sokongan teguh rakyat Maldives.
“Kami menegaskan semula sokongan kami yang tidak berbelah bahagi kepada rakyat Palestin dalam usaha mereka yang sah kenegaraan.
“Rakyat Palestin berhak mendapat negara mereka sendiri yang merdeka dan berdaulat, berdasarkan pra 1967 bersempadan, dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu kotanya. – UTUSAN