PUTRAJAYA: Malaysia dan Maldives bersetuju memperkukuh kerjasama dalam pelbagai bidang berlandaskan semangat manfaat bersama khususnya dalam perdagangan, pelancongan dan pendidikan.
Perkara itu disepakati antara pemimpin kedua-dua negara sempena lawatan sulung Presiden Maldives, Mohamed Muizzu ke negara ini dalam memperkukuhkan hubungan diplomatik yang telah terjalin antara kedua-dua negara sejak tahun 1968.
Dalam satu kenyataan bersama antara dua negara, kedua-dua pemimpin mengiktiraf potensi ekonomi masing-masing dan menyatakan keyakinan terhadap pertumbuhan berterusan nilai perdagangan, pelancongan dan aktiviti pelaburan.
“Para pelabur Malaysia dijemput untuk meneroka peluang pelaburan yang luas di Maldives dan menggalakkan kerjasama dalam pelbagai sektor.
“Kedua-dua pemimpin bersetuju untuk memperkukuhkan kerjasama dengan mengambil peluang melalui kempen Melawat Malaysia 2026 serta meneroka potensi meningkatkan aliran pelancongan antara kedua-dua negara termasuk dalam bidang Pelancongan Mesra Muslim dan Pelancongan Halal,” katanya hari ini.
Melihat kepada peningkatan permintaan terhadap produk dan perkhidmatan berkualiti khususnya dalam industri halal, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan kesediaan Malaysia untuk berkongsi pengalaman dan kepakaran dalam industri halal.
Pada masa sama, kedua-dua pemimpin mengalu-alukan lebih banyak program pertukaran budaya antara kedua-dua negara.
“Mereka juga komited untuk memfokuskan kepada pengukuhan hubungan budaya melalui pertukaran karya sastera, pakar, seni persembahan, latihan dan pendidikan budaya serta aktiviti lain yang berkaitan.
“Ini untuk meningkatkan kesedaran awam mengenai budaya dan sejarah Malaysia dan Maldives,” katanya.
Kedua-dua pemimpin turut menekankan kepentingan memperkukuhkan hubungan antara rakyat dan meningkatkan kefahaman bersama, serta menggalakkan kerjasama antara institusi pengajian tinggi di Malaysia dan Maldives.
Mereka juga menegaskan komitmen untuk menyediakan lebih banyak peluang serta persekitaran yang menyokong kepada pelajar, termasuk melalui kelonggaran rejim visa untuk melanjutkan pelajaran di negara masing-masing.
Selain itu, kedua-dua pemimpin menyatakan kepuasan terhadap kejayaan berterusan Program Kerjasama Teknikal Malaysia (MTCP) yang memainkan peranan penting dalam mengeratkan hubungan antara Malaysia dan Maldives.
“Malaysia juga menegaskan komitmennya untuk terus menyokong usaha pembinaan kapasiti Maldives melalui MTCP,” katanya. – UTUSAN