Malaysia-Maldives meterai MoU perkukuh kerjasama sukan, kesihatan, pelancongan

Malaysia-Maldives meterai MoU perkukuh kerjasama sukan, kesihatan, pelancongan

MESYUARAT dua hala antara Kerajaan Malaysia dan Maldives di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya. - GAMBAR PMO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Malaysia dan Maldives terus mengukuhkan jalinan kerjasama dalam bidang sukan, kesihatan dan pelancongan menerusi pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) dalam bidang sukan, kesihatan dan pelancongan.

MoU bidang sukan itu adalah dalam usaha menggalakkan penyertaan acara sukan, pertukaran maklumat melalui seminar, pembangunan kemudahan sukan, pertukaran atlet dan jurulatih.

Ia dimeterai antara Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh dan Menteri Luar Maldives, Dr. Abdulla Khaleel bagi mengukuhkan kerjasama berasaskan elemen timbal balik.

Dalam kenyataan Wisma Putra, kerjasama itu turut melibatkan dalam bidang anti-doping, perubatan sukan selain mempromosikan sukan untuk semua.

“Sementara itu, bagi MoU bidang kesihatan pula, kedua-dua negara turut memperbaharui kerjasama itu yang telah tamat pada 2023.

“MoU itu menyokong kerjasama berterusan dalam bidang seperti pembangunan sumber, pertukaran pengetahuan, teknologi perubatan, farmaseutikal, perubatan tradisional, teknologi maklumat kesihatan, keselamatan makanan, dan pelancongan kesihatan.

“Ia mencerminkan komitmen kedua-dua negara terhadap penjagaan kesihatan yang berkualiti tinggi, berasaskan piawaian serta selaras dengan kemajuan teknologi,” katanya hari ini.

Pemeterian MoU bidang kesihatan disaksikan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad dan Abdulla Khaleel.

Sementara itu, Malaysia dan Maldives turut memeterai MoU dalam kerjasama pelancongan yang merangkumi rangka kerja komprehensif dalam beberapa bidang utama.

Antaranya promosi dan pemasaran bersama destinasi pelancongan, pertukaran kepakaran selain pembinaan kapasiti melalui program latihan dan pembangunan tawaran pelancongan mesra Muslim.

Kedua-dua negara turut menyaksikan Pertukaran Nota Mengenai Penubuhan Rundingan Dua Hala yang disaksikan Timbalan Menteri Luar, Datuk Mohamad Alamin bersama Pesuruhjaya Tinggi Maldives ke Malaysia, Dr. Mariyam Shabeena Ahmed.

“Rundingan itu bertujuan memperkukuhkan kerjasama dalam bidang-bidang utama seperti hubungan politik, ekonomi dan sosial selain memudahkan perbincangan mengenai isu-isu serantau dan antarabangsa.

“Selain itu, kedua-dua negara turut menyaksikan Pertukaran Nota Mengenai Latihan Diplomat yang akan dilaksanakan melalui Institut Diplomasi dan Hubungan Luar Malaysia serta Institut Perkhidmatan Luar Maldives,” katanya.

Inisiatif ini bertujuan memperkukuhkan pembangunan profesional dan pembinaan kapasiti diplomat dari kedua-dua negara melalui satu rangka kerja yang berasaskan pemahaman bersama. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN