Malaysia-Indonesia perluas kerjasama TVET, industri halal, belia

Malaysia-Indonesia perluas kerjasama TVET, industri halal, belia

AHMAD Zahid mengadakan pertemuan rasmi bersama Gibran Rakabuming Raka di Jakarta, Indonesia.-FACEBOOK/ZAHID HAMIDI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia dan Indonesia bersetuju memperluas kerjasama strategik dalam bidang pendidikan teknikal dan vokasional (TVET), industri halal serta pemberdayaan belia, demi memperkukuh hubungan dua hala serantau.

Kesepakatan itu dicapai dalam pertemuan rasmi antara Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Naib Presiden Indonesia, Gibran Rakabuming Raka di Istana Wakil Presiden, Jakarta.

Menurut Ahmad Zahid, beberapa inisiatif dibincangkan termasuk kerjasama antara Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dan provinsi-provinsi di Indonesia untuk meningkatkan mutu pendidikan kemahiran.

“Kami juga meneliti peluang memperkukuh sektor halal dengan mengatasi cabaran bersama serta memperluaskan capaian industri ke peringkat serantau dan antarabangsa,” katanya ketika pertemuan di Istana Wakil Presiden Indonesia di Jakarta.

Selain itu, kedua-dua negara komited untuk memperkukuh industri francais ASEAN dan menyediakan ruang lebih luas kepada usahawan muda, khususnya dalam pasaran serumpun.

Lawatan itu turut memberi fokus kepada pemerkasaan belia menerusi program pertukaran pelajar, keusahawanan sosial dan inovasi, menjadikan golongan muda sebagai tonggak pembangunan masa depan.

Ahmad Zahid menegaskan bahawa hubungan dua hala Malaysia-Indonesia yang berakar dari sejarah dan budaya bersama akan terus diperkukuh.

“Saya yakin dengan semangat solidariti, kedua-dua negara mampu melangkah jauh bersama dalam pelbagai bidang strategik,” katanya.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada Gibran atas pelantikan sebagai Naib Presiden termuda Indonesia, sambil menyatakan keyakinan terhadap kepimpinan inovatif beliau. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya