Majlis Santapan Diraja penuh gilang-gemilang

Majlis Santapan Diraja penuh gilang-gemilang

TUANKU Syed Faizuddin Putra Jamalullail (tengah) menyambut ketibaan Sultan Hassanal Bolkiah (kiri) pada Majlis Santapan Diraja di Istana Arau, Perlis.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Majlis Santapan Diraja yang berlangsung di Istana Arau di sini, kelmarin penuh gemilang yang menjadi pembuka tirai acara utama bagi Sambutan Jubli Perak Pemerintahan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail.

Keberangkatan tiba Tuanku Syed Sirajuddin bersama Raja Perempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah Almarhum Tengku Abdul Rashid mencemar duli ke majlis berkenaan disambut dengan penuh adat dan penghormatan, melambangkan keteguhan sistem beraja yang sudah lama berakar umbi di Perlis.

Majlis Santapan Diraja turut diserikan dengan keberangkatan Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah; Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah; Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah; Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin; Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah dan raja-raja peme­rintah atau wakil-wakil bersama tuan-tuan yang terutama dari seluruh negara.

Berangkat sama, Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil bersama anakanda ba­ginda berdua, Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail.

Antara wakil kerajaan Persekutuan yang hadir ialah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof.

Terdahulu, Tuanku Syed Faizuddin dan Tuanku Lailatul Shahreen bersama Syed Sirajuddin Areeb mencemar duli menyambut keberangkatan tiba Raja-raja Melayu, Yang Dipertua Negeri serta Sultan Hassanal Bolkiah pada majlis berkenaan.

Selain tembakan bunga api, Majlis Santapan Diraja turut diserikan dengan persembahan daripada beberapa artis tempatan antaranya Yusni Hamid dan Khai Bahar.

Sambutan Jubli Perak akan berlangsung selama setahun sehingga 16 April 2026 dengan pengisian beberapa acara utama antaranya Majlis Perasmian Mercu Tanda Bulatan Padang Besar dijadualkan pada 24 April ini.

Perlis akan menjadi tuan rumah bagi penganjuran Majlis Tilawah dan Hafazan al-Quran Peringkat Kebangsaan pada 27 April hingga 2 Mei ini.

Pada 26 April pula, Istiadat Perarakan Panji-panji Pasukan-pasukan Rejimen Renjer Diraja (RRD) akan berlangsung pada sebelah pagi dan persembahan tatu oleh Tentera Darat sebelah malam di Stadium Tuanku Syed Putra, Kangar, selain pelbagai lagi acara menarik lain.

Tuanku Syed Sirajuddin diputerakan di Bandar Diraja Arau pada tanggal 17 Mei 1943 dan baginda menjalin ikatan perkahwinan dengan Tuanku Tengku Fauziah pada 15 Februari 1967.

Baginda dimasyhurkan sebagai Raja Perlis pada 17 April 2000 selepas kemangkatan Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail dan istiadat pertabalan Tuanku Syed Sirajuddin telah disempurnakan pada 7 Mei 2001 di Istana Arau.

Pada tanggal 25 April 2002, Tuanku Syed Sirajuddin telah ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-12. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya