LIMA SOALAN: AMK perlu lebih dekat dengan anak muda

LIMA SOALAN: AMK perlu lebih dekat dengan anak muda

OMAR MOKHTAR MANAP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH

SETELAH berjaya di peringkat cabang, cabaran masih belum berakhir buat OMAR MOKHTAR MANAP bagi merebut posisi Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) dalam Pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) kali ini.

Tanggungjawab yang dipikul sebagai Setiausaha AMK sebelum ini memberi kelebihan buatnya kerana dilihat lebih dekat dengan perwakilan di peringkat cabang, sekali gus memberikan keyakinan bertanding pada tahap lebih tinggi.

Ikuti perkongsian OMAR MOKHTAR yang juga Ketua AMK Cabang Mersing dengan wartawan Utusan Malaysia, ASLINDA NASIR.

UTUSAN: Mengapa penting untuk menang jawatan Timbalan Ketua AMK?

OMAR MOKHTAR: Saya bersama Muhammad Kamil Abdul Munim dan Adam Adli Abd. Halim sebelum ini memikul tanggungjawab sebagai pimpinan di barisan hadapan AMK ketika kami pembangkang, kemudian berdepan isu Langkah Sheraton yang memberi kesan. Daripada 222 Cabang AMK, hanya tinggal 53 sahaja. Jadi, daripada 53 yang tinggal itu kami buat mesyuarat dan berusaha menggarap kembali kekuatan dan akhirnya berjaya mengambil alih 132 cabang dan terus bertambah kepada 200 cabang. Sebab itu pada kali ini, saya beranggapan sudah tiba masa untuk saya langkah setapak ke hadapan.

Adakah tugas sebagai Pegawai Tugas-tugas Khas kepada Menteri Dalam Negeri memberi kelebihan?

Saya memang tidak boleh lari daripada tugas saya kepada Menteri Dalam Negeri, pada masa sama, saya adalah Setiausaha Angkatan Muda Harapan, jadi saya memang tidak boleh lari dari stigma yang orang akan fikir, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail telah beri ruang yang seluasnya kepada saya untuk bertanding, sudah tentulah berlaku proses perbincangan dan nasihat dan beliau memberikan ruang seluasnya untuk saya membuat keputusan sama ada ingin bertanding ataupun tidak.

Ada berbincang dengan Muhammad Kamil untuk bertanding jawatan Timbalan Ketua AMK?

Saya tidaklah mahu kata yang saya mendapat ‘restu’ daripada Kamil atau sesiapa untuk bertanding di peringkat pusat ini. Pada saya, setiap ahli parti pada dasarnya perlu berdiri di atas kaki sendiri. Sejauh mana kita dapat mengetengahkan pemimpin yang mahu galas naratif Perdana Menteri, untuk satukan semua parti, berkemampuan dari segi diplomasi politik, itu yang terbaik sebenarnya.

Bagaimana persaingan dengan calon lain?

Ia tidak sama seperti Dr. Afif Bahardin dan Akmal Nasrullah Mohd. Nasir dalam merebut jawatan Ketua AMK. Persaingan kali ini lebih harmoni, tetapi apa pun kita tidak boleh lari daripada fokus untuk berdepan dengan Pilihan Raya Umum Ke-16. Itu menjadi sasaran kita untuk pastikan dapat menarik suara-suara anak muda.

Misi dan harapan AMK yang perlu dibawa kali ini?

Ia telah menjadi pengetahuan umum bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menjadi Perdana Menteri buat penggal kedua. Malah peranan anak muda sungguh besar pada kali ini, jadi ia perlu ada satu gelombang baharu yang mampu melonjakkan kembali sokongan kepada Anwar. Karakter AMK kali ini perlu lebih dekat dengan anak muda, walaupun pengalaman yang terhad, maka sebab itu kita perlu memperhebat program pengkaderan untuk pelapis muda. Jadi, saya yakin dengan kerjasama yang ada, segala misi dan harapan akan dapat dicapai. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya