SHAH ALAM: Kumpulan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) menawarkan rumah kosong untuk disewa dan dibeli dengan harga lebih rendah kepada mangsa insiden kebakaran saluran paip gas di Putra Heights, Subang Jaya.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Mahmud Abbas berkata, pihaknya telah berbincang dengan kerajaan negeri bagi memastikan kediaman kosong di bawah pengurusan PKNS dimanfaatkan mangsa yang kehilangan tempat tinggal.
Jelas beliau, rumah yang ditawarkan itu berada di beberapa lokasi strategik seperti Shah Alam yang meliputi Seksyen 6, 7, dan 13 selain Kuala Lumpur dan Bangi.
“Antara jenis rumah yang disediakan PKNS termasuk rumah teres, semi-D, banglo dan kondominium.
“PKNS mempunyai banyak rumah kosong tetapi penempatan bergantung kepada lokasi dan keperluan mangsa,” katanya ketika ditemui pada majlis Jalinan Aidilfitri PKNS di sini, hari ini
Terdahulu, beliau menyerahkan sumbangan RM1 juta kepada Tabung Selangor Prihatin yang turut disaksikan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.
Mengulas lanjut, kata Mahmud, harga sewaan rumah pula ditetapkan pada kadar lebih rendah daripada pasaran dan kos sebenar.
“Kami faham ada mangsa yang masih perlu membayar pinjaman rumah atau kereta yang musnah dalam tragedi itu.
“Oleh itu kami tidak akan mengambil keuntungan dan sewaan hanya cukup untuk membayar air, elektrik dan sedikit kos penyelenggaraan,” ujarnya.
Tambah beliau, kerajaan negeri dan Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) akan menguruskan agihan berdasarkan kesesuaian.
“Mangsa yang memerlukan bantuan perlu memohon melalui kerajaan Selangor dan LPHS, bukannya terus kepada PKNS. Kerajaan negeri akan menentukan faktor kelayakan dan lokasi penempatan berdasarkan keperluan mangsa,” katanya.
Sehubungan itu, Mahmud berharap inisiatif itu dapat meringankan beban mangsa sementara menunggu proses pembinaan semula rumah atau penyelesaian lain. – UTUSAN