Letupan paip gas: Kumpulan PKNS sumbang RM1 juta kepada Tabung Selangor Prihatin

Letupan paip gas: Kumpulan PKNS sumbang RM1 juta kepada Tabung Selangor Prihatin

MAHMUD ABBAS (kiri) menyerahkan replika cek sumbangan sambil disaksikan Amirudin pada program itu di Shah Alam, Selangor hari ini. - UTUSAN/ AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Kumpulan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) menyalurkan RM1 juta kepada Tabung Selangor Prihatin bagi membantu mangsa insiden kebakaran saluran paip gas di Putra Heights.

Sumbangan melibatkan penyertaan anak-anak syarikat serta rakan strategik kumpulan itu menyokong usaha pemulihan dan pembangunan semula kawasan tragedi.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PKNS, Datuk Mahmud Abbas berkata, pihaknya sentiasa bersemangat solidariti dalam meringankan beban mangsa dan mempercepatkan proses pemulihan komuniti yang terkesan.

Jelas beliau, sumbangan itu bertujuan memenuhi keperluan mendesak dan meringankan beban keluarga yang kehilangan tempat tinggal serta harta benda.

“Bantuan itu meliputi keperluan barangan asas, kerja pembersihan kawasan dan pembinaan semula kediaman serta kemudahan awam yang rosak.

“PKNS bersimpati dengan kesukaran menimpa penduduk Putra Heights dan menjadi tanggungjawab kami untuk bersama kerajaan negeri dan agensi berkaitan dalam membantu mereka yang memerlukan,” katanya pada Majlis Jalinan Aidilfitri PKNS di sini, hari ini.

Terdahulu, beliau menyerahkan sumbangan itu kepada Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

Tambah Mahmud, pihaknya merakamkan penghargaan kepada semua agensi penyelamat, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan sukarelawan yang terlibat dalam insiden itu.

“Mereka bertungkus lumus menghulurkan bantuan dan memastikan keselamatan orang awam yang terjejas dalam kejadian berkenaan.

“PKNS menyeru lebih banyak pihak termasuk syarikat swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) turut menyalurkan sumbangan ke Tabung Selangor Prihatin supaya bantuan diperluaskan dan memberi manfaat kepada lebih ramai mangsa,” ujarnya.

Terdahulu, Amirudin memaklumkan kerajaan negeri menerusi tabung itu berjaya mengumpul RM4.74 juta setakat semalam.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan letupan gas dan kebakaran saluran paip gas di Putra Heights menyebabkan 437 rumah terkesan dengan 81 daripadanya musnah sepenuhnya.
Letupan itu turut mengakibatkan kawah sedalam lapan meter selain 467 keluarga disahkan terkesan akibat kejadian itu.

Laporan penuh siasatan kes tragedi itu dijangka siap seawal pertengahan bulan depan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya