KUALA LUMPUR: Seorang lelaki ditemukan mati di dalam keretanya selepas menyambut majlis hari jadi rakannya di sebuah pusat hiburan di Jalan Sultan Ismail, di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 8.41 pagi itu, mangsa berusia 34 tahun yang bekerja dalam bidang jual beli alat ganti kenderaan ditemukan tidak sedarkan diri dengan mulut berbuih di tempat duduk keretanya di hadapan pusat hiburan terbabit.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd. Isa berkata, sebelum kejadian, mangsa dipercayai hadir ke pusat hiburan berkenaan bagi meraikan ulang tahun kelahiran rakannya.
“Ketika sambutan itu, mangsa dikatakan menghisap vape sebelum secara tiba-tiba mengalami sesak nafas dan rasa panas badan.
“Dia kemudian keluar dari premis tersebut dan masuk ke dalam kereta untuk membuka penghawa dingin bagi menyejukkan badan,” katanya ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, hari ini.
Menurutnya, tiada sebarang bantuan diminta dan dia hanya ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri dan mulut berbuih oleh rakannya.
Tambah Rusdi, pemeriksaan awal oleh pihak polis mengesahkan lelaki itu telah meninggal dunia di tempat kejadian.
“Bedah siasat telah dijalankan semalam dan setakat ini, kita masih menunggu keputusan ujian toksikologi bagi mengetahui punca sebenar kematian,” ujarnya.
Tambahnya, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan siasatan lanjut masih dijalankan. – UTUSAN