KUALA TERENGGANU: Seorang lelaki terlepas hukuman gantung selepas Mahkamah Tinggi di sini hari ini melepas dan membebaskannya daripada pertuduhan mengedar dadah jenis methamphetamine, tiga tahun lalu.
Muhammad Fazilah Ngah, 42, didakwa mengedar dadah seberat 73.86 gram di sebuah rumah di Felda Bukit Bading, Hulu Terengganu pada 9 Jun 2022.
Dia didakwa mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.
Bagaimanapun, Hakim Datuk Hassan Abdul Ghani memutuskan untuk melepas dan membebaskan tertuduh tanpa dipanggil membela diri selepas mendapati pihak pendakwaan gagal mewujudkan kes prima facie terhadapnya.
Difahamkan, tertuduh yang bekerja sendiri dan mempunyai empat anak sebelum ini ditahan di Penjara Marang selama dua tahun 10 bulan sepanjang perbicaraan berlangsung memandangkan tiada sebarang jaminan dibenarkan terhadap kes berkenaan.
Pendakwaan kes itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Khairuddin Idris manakala tertuduh diwakili peguam, Wan Zainuddin Wan Musa. – UTUSAN