SEREMBAN: Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun akan mempertahankan jawatan Ketua Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Port Dickson dalam pemilihan peringkat cabang yang berlangsung esok.
Pertandingan satu lawan satu itu menyaksikan Naib Presiden PKR itu berdepan pesaing tradisinya, Datuk M. Ravi yang pernah menyandang jawatan Timbalan Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan pada penggal lalu.
Pada pemilihan 2022, Aminuddin menang dengan meraih 1,047 undi menewaskan Ravi yang memperoleh 909 undi.
Cabang Port Dickson mempunyai seramai 3,929 pengundi dalam talian dan 45 orang mengundi secara fizikal.
Di Cabang Seremban pula. penyandang jawatan ketuanya, Datuk Muhammad Nazri Kassim akan berdepan Noor Iskandar Mohamad Noor.
Sementara itu, cabang PKR lain di negeri ini menyaksikan tiga calon untuk jawatan ketua di Rasah, Rembau (2), Kuala Pilah (2), Jempol (4), Tampin (3) dan Jelebu (2).
Dalam perkembangan sama, dua ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) akan mempertahankan jawatan ketua wanita PKR cabang iaitu Tengku Zamrah Tengku Sulaiman di Seremban dan Datuk Noorzunita Begum Mohd. Ibrahim di Kuala Pilah.
Secara keseluruhannya, PKR mempunyai seramai 14,042 pengundi di lapan cabang di negeri ini.
Daripada jumlah itu, seramai 500 orang akan mengundi di tiga pusat pengundian yang terletak di sini, Kuala Pilah dan Bahau, Jempol manakala seramai 13,542 orang mengundi secara dalam talian.
Proses pengundian esok akan berlangsung mulai pukul 8 pagi hingga 5 petang. – UTUSAN