Lebih 1,000 tindakan penguatkuasaan sejak Januari - DBKL

Lebih 1,000 tindakan penguatkuasaan sejak Januari – DBKL

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Lebih 1,066 tindakan penguatkuasaan telah dilaksanakan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sejak awal tahun lalu melalui operasi serta rondaan harian yang dijalankan secara berterusan.

Pengarah Jabatan Penguatkuasaan DBKL, Mohd. Muzammer Jamaluddin berkata, tindakan tersebut memfokuskan kepada penjaja haram dan individu yang menjalankan kegiatan tidak sah khususnya dalam kalangan warga asing.

Katanya, sebanyak lapan premis telah dikenakan tindakan menerusi operasi bersepadu terbaru di Brickfields.

“Operasi itu dijalankan dengan kerjasama beberapa agensi penguatkuasaan lain termasuk Jabatan Imigresen Malaysia, Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

“Empat premis telah diarahkan tutup, masing-masing dua di bawah Undang-Undang Kecil (UUK) Tred Perniagaan dan Perusahaan (WPKL) 2016 manakala dua lagi di bawah Akta Makanan 1983,” katanya.

DBKL turut mengeluarkan tujuh notis atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Kerajaan Tempatan 1976 mengikut UUK Tred Perniagaan dan Perusahaan (WPKL) 2016.

Sementara itu, Kadet Inspektor Penguasa, Hazirudin Ahmad Tadjudin berkata, kebanyakan penjaja warga asing bukan sahaja tidak memiliki lesen, malah menjalankan perniagaan dalam keadaan tidak terkawal dari aspek kebersihan sehingga menjejaskan peluang peniaga tempatan.

“Ada dalam kalangan mereka bersikap agresif, merakam video dan menolak anggota kami ketika menjalankan tugas.

“Tindakan yang kami ambil bukanlah sembarangan, sebaliknya berdasarkan pemantauan lokasi panas seperti sekitar Jalan Silang, Chow Kit dan Pasar Borong Selayang. Kami kumpulkan maklumat terlebih dahulu sebelum pasukan khas (KL Strike Force) digerakkan,” katanya menerusi hantaran video di Facebook rasmi DBKL.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN