KUALA SELANGOR: Rundingan kerjasama dan kerusi dalam gabungan antara Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah sudah di peringkat hampir selesai.
Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, rundingan kerusi bagi ketiga-tiga parti Kerajaan Persekutuan dan negeri itu bakal dimuktamadkan sama ada sebelum atau pada pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN)
“Untuk peringkat BN-PH hampir selesai dan saya diberitahu untuk GRS juga akan selesai. Bila ia akan dimuktamadkan nanti tunggulah ia (DUN Sabah) dibubarkan,” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Pecah Tanah Ehsan Dairy Farm, hari ini.
Utusan Malaysia pada akhir Jun lalu melaporkan rundingan kerjasama antara BN dan PH bagi menghadapi PRN Sabah sudah memasuki fasa akhir.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Dr. Asraf Wajdi Dusuki berkata, ia melibatkan seluruh komponen dalam gabungan itu, termasuk dengan rakan strategik di Sabah.
Katanya, ia sejajar dengan arahan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi supaya semua pintu perbincangan tidak ditutup rapat bagi memastikan kestabilan kerajaan yang bakal dipilih kelak.
Malah, Penganalisis politik Universiti Malaysia Sabah (UMS), Dr. Romzi Ationg sebelum ini memaklumkan keutamaan perlu diberi kepada penyandang dalam soal pembahagian kerusi dengan melibatkan blok GRS, PH dan BN, manakala parti lain dalam gabungan akan memberi sokongan.
Menurutnya langkah itu penting untuk mengekalkan kestabilan gabungan sekali gus mengelakkan situasi pertandingan tiga penjuru yang boleh merugikan semua pihak. – UTUSAN










