KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan 23 April ini untuk mengetahui status laporan mental seorang penganggur yang sebelum ini mengaku bersalah membunuh ibu dan bapanya di Kampung Sungai Penchala, dua tahun lalu.
Hakim Mahkamah Tinggi, K. Muniandy menetapkan tarikh itu selepas pihak pendakwaan memaklumkan laporan mental tertuduh, Afendi Muhammad Agus @ Muhamed Ali, 44 telah siap namun perlu diambil di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak.
“Pihak pendakwaan akan mengarahkan IO (pegawai penyiasat) untuk mengambil laporan tersebut,” kata Timbalan Pendakwa Raya, Zaileen Nadia Zubir. Pada prosiding hari ini, peguam bela, Mohd. Ruzaini Zulkifli hadir mewakili Afendi.
Pada 6 September 2024, Afendi mengaku bersalah atas tuduhan membunuh bapanya, Muhammad Agus @ Muhamed Ali Omar, 82, dan ibunya, Darlisma Njatu Saleh, 72, di rumah mereka di Kampung Sungai Penchala, Jalan Penchala Hilir 6 di sini.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di antara pukul 7.10 dan 7.20 malam pada 9 Disember 2023.
Mahkamah bagaimanapun tidak menerima pengakuan tersebut sebaliknya megarahkan tertuduh menjalani pemeriksaan psikiatri bagi memastikan pengakuan bersalah lelaki itu dibuat dalam keadaan waras serta sukarela.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak lebih 40 tahun dan tidak kurang 12 sebatan.
Media sebelum ini melaporkan sepasang warga emas ditemukan mati dengan beberapa kesan tikaman pada tubuh di sebuah rumah di Kampung Sungai Penchala.
Suspek yang melarikan diri telah diberkas oleh polis ketika bersembunyi di terowong Penchala di Lebuhraya Sistem Penyuraian Trafik Kuala Lumpur .
Polis telah mendapati suspek mempunyai sembilan rekod jenayah dan ujian saringan air kencing menunjukkan lelaki itu positif dadah jenis amphetamine, methamphetamine dan morfin.-UTUSAN