GAZA: Pusat agihan bekalan milik badan dari Amerika Syarikat (AS) kini bertukar menjadi ‘perangkap maut’ lepas lebih 130 rakyat Palestin ditembak mati ketika berhimpun mendapatkan bantuan berhampiran kawasan tersebut di selatan Semenanjung Gaza.
Sekurang-kurangnya 44 penduduk Palestin terbunuh manakala ratusan lagi cedera dalam tempoh 24 jam lalu berikutan serangan berterusan rejim Israel di seluruh wilayah Gaza, menurut laporan pihak berkuasa kesihatan tempatan.
Menurut laporan Al Jazeera yang memetik sumber kesihatan Gaza, antara yang terbunuh termasuk 14 orang awam yang ditembak berhampiran pusat agihan bantuan di Rafah kendalian Yayasan Kemanusiaan Gaza (GHF).
Kematian tersebut meningkatkan lagi jumlah korban yang dikaitkan dengan entiti tersebut, sebuah pertubuhan tajaan AS dan Israel yang kini dikritik hebat oleh pihak berkuasa Palestin dan media tempatan.
Menurut kenyataan Pejabat Media Kerajaan di Gaza, pertubuhan itu disifatkan sebagai ‘topeng kepada agenda ketenteraan’ yang menyamar sebagai badan kemanusiaan.
Badan itu didakwa bertanggungjawab secara langsung ke atas kematian 130 penduduk Palestin dan lebih 1,000 yang parah.
“Ini bukan tentang menolong orang yang kelaparan. Ini tentang mengawal mereka, mengalihkan mereka dan membuat mereka kebuluran.
“Entiti ini turut menyebarkan dakwaan palsu kononnya pejuang Palestin mengancam petugas mereka serta menghalang penghantaran bantuan. Kenyataan seperti ini berniat jahat dan tidak benar,” katanya.
Di kejiranan timur Gaza iaitu Shujaiya dan Zaytoun, sumber di Hospital Baptist memaklumkan, 11 orang terbunuh sejak awal pagi dan penduduk mendakwa serangan tanpa henti menyebabkan keseluruhan blok perumahan musnah dengan ramai terperangkap di bawah runtuhan.
Sejak serangan dilancarkan Israel pada Oktober 2023, jumlah keseluruhan korban kini mencecah 54,927 orang dengan lebih 226,600 lagi cedera.
Angka tersebut dijangka terus meningkat memandangkan ramai mangsa masih terperangkap di bawah runtuhan dan kawasan kejiranan terus dibedil tanpa henti. –AGENSI










