PUTRAJAYA: Malaysia berhasrat membeli peralatan pertahanan dengan Poland sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh kerjasama dua hala antara kedua-dua negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu antara yang dibincangkan bersama Presiden Poland, Andrzej Duda semasa lawatan rasmi pemimpin itu ke Malaysia, yang juga merupakan lawatan pertama pemimpin kanan Kerajaan Poland sejak tahun 1999, semalam.
Anwar berkata, Poland kini muncul sebagai pemain penting di peringkat serantau dan Kesatuan Eropah, hasil pertumbuhan pesat dalam bidang teknologi baharu, kecerdasan buatan digital, teknologi makanan dan tenaga boleh diperbaharui termasuk hidrogen hijau.
Katanya pertumbuhan luar biasa ini sangat mengagumkan dan menjadikan Poland rakan strategik yang penting.
“Saya percaya terdapat potensi besar untuk memperkukuh hubungan dua hala, khususnya dalam bidang pertahanan, perdagangan, pelaburan, teknologi digital dan industri makanan,” katanya dalam sidang akhbar bersama di bangunan Perdana Putra, di sini semalam.
Anwar berkata, keutamaan dalam memenuhi keperluan Kementerian Pertahanan harus diletakkan sepenuhnya di bawah tanggungjawab pasukan profesional di kementerian tersebut.
Katanya, mereka seharusnya diberikan ruang sepenuhnya untuk membuat penilaian dan cadangan.
“Jika kita mempunyai sumber, sudah tentu kita akan memberikan sokongan. Setakat ini, berdasarkan laporan yang telah dikemukakan kepada saya, penggunaan kereta kebal buatan Poland telah menerima maklum balas yang sangat positif.
“Begitu juga dengan sistem elektronik (berkaitan pertahanan), yang turut mendapat komen yang baik. Oleh itu, saya menantikan cadangan daripada kedua-dua pihak dan berharap kerjasama ini dapat diteruskan dan diperluas, khususnya dalam bidang baharu pertahanan.
“Ini memandangkan Kerajaan Poland juga telah memperuntukkan dan menambah dana tambahan untuk menyokong industri tersebut,” katanya.
Anwar turut memuji prestasi perdagangan dua hala yang menunjukkan peningkatan sebanyak 19.5 peratus dari tahun 2023 ke 2024, menggambarkan potensi besar kerjasama ekonomi antara Malaysia dan Poland.
Beliau berkata, Malaysia menyambut baik perkembangan itu dan mengharapkan lebih banyak kerjasama dalam sektor eksport melibatkan minyak sawit, produk kayu, getah, serta barangan elektrik dan elektronik (E&E).
“Perbincangan turut meliputi usaha memperkukuh kerjasama dalam teknologi makanan halal, memandangkan kekuatan Poland dalam bidang teknologi moden dan makanan,” katanya.
Sementara itu, Duda berkata, Poland memperkukuh lagi kerjasama dalam sektor pertahanan, termasuk memperluaskan kehadiran industri persenjataan Poland di Malaysia.
Menurutnya, Poland ketika ini memperuntukkan sebanyak 4.7 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) untuk pemodenan teknikal angkatan tenteranya, pelaburan besar yang memperlihatkan hala tuju strategik negara tersebut dalam pertahanan moden.
“Saya berbangga kerana produk industri pertahanan Poland seperti WB Electronics sudah pun digunakan Angkatan Tentera Malaysia (ATM). Kami juga mempunyai sejarah kerjasama yang panjang dalam bidang ini dan berharap ia akan terus diperkukuh pada masa hadapan,” katanya.
Poland juga, kata Andrzej, bersedia berkongsi kepakaran dan pengalaman ketenteraan dengan Malaysia, khususnya dalam pelaksanaan misi keamanan antarabangsa yang telah dilaksanakan selama beberapa dekad di bawah naungan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Beliau berkata, negaranya mempunyai pengalaman luas dalam misi pengaman, termasuk penyertaan tenteranya di Lubnan ketika waktu-waktu paling mencabar, tanpa sebarang penarikan pasukan.
“Kami benar-benar berpengalaman dalam hal ini dan sedia membantu ATM dalam penyediaan, latihan dan segala aspek yang penting.
“Ia bukan sahaja untuk menyertai misi seumpama itu, tetapi juga bagi memastikan ia dilaksanakan dengan baik dan selamat,” katanya. – UTUSAN










