GUA MUSANG: Pertumbuhan ekonomi di jajahan ini dijangka terus berkembang apabila kerajaan bersetuju membuka semula Kolej Poly-Tech MARA (KPTM) Gua Musang yang ditutup pada 2019.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, kursus-kursus yang ditawarkan kali ini bersesuaian dengan kebolehpasaran untuk pelajar sekitar Gua Musang dan seluruh Kelantan.
“Antara kursus yang akan ditawarkan ialah robotik, internet kebendaan (IoT), automotif terutama kenderaan elektrik (EV) dan beberapa kursus lain yang memenuhi keperluan industri di Kelantan jika ada.
“Sekiranya tiada, kita akan buat padanan dengan pemain-pemain industri di luar Kelantan supaya selepas mereka tamat kursus, pelajar ini mendapat peluang pekerjaan sebagaimana di institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) lain,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Penyerahan Bantuan Program Perumahan Rakyat Sejahtera (PPRS) dan Majlis Hari Raya Aidilfitri Lembaga Kemajuan Kelantan Kelantan (Kesedar) 2025 di Dataran Awam Kampung Jerek, di sini, hari ini.
Ahmad Zahid berkata, beliau sudah berbincang dengan Pengerusi Mara, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dasuki dan kerja-kerja awalan pembukaan KPTM Gua Musang akan dilaksanakan bulan depan.
Katanya, lokasi pusat pengajian berkenaan akan dibincang bersama Kesedar untuk mendapatkan nasihat.
“Kita sasarkan pendaftaran pelajar sekitar 500 hingga 600 orang setiap tahun,” ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Ahmad Zahid berkata, kerajaan bersetuju membina jambatan di Batu 10, Nenggiri yang bernilai RM2 juta bagi kemudahan penduduk setempat. – UTUSAN