IPOH: Kerajaan memperuntukkan RM28.1 juta bagi melaksanakan dua projek pembangunan infrastruktur awam dan sosioekonomi di Perak menerusi Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).
Menterinya, Nga Kor Ming berkata, daripada jumlah tersebut, RM7 juta diperuntukkan bagi projek Pembangunan Landskap Perbandaran Ipoh.
Menurutnya, sebanyak RM21.1 juta lagi bagi projek naik taraf Tapak Pelupusan Sisa Pepejal di Teluk Cempedak, Pulau Pangkor.
“Projek pembangunan landskap di Ipoh dilaksanakan di kawasan sekitar Sungai Kinta dari Jambatan Sultan Iskandar sehingga Jambatan Jalan Leong Boon Swee yang melibatkan kawasan seluas 5.47 hektar,” katanya ketika ditemui pemberita pada majlis pecah tanah pembangunan kompleks parkir dan ruang komesial di Jalan Panglima di sini hari ini.
Menurutnya, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya turut memperuntukan RM5 juta di untuk bagi membangunkan landskap di sepanjang Sungai Kinta.
“Peruntukan ini bertujuan memperindah kawasan tersebut dan menyokong usaha memperkukuh sektor pelancongan tempatan. Saya yakin ini akan menjadi tarikan pelancongan yang akan meningkatkan imej bandaraya Ipoh,” katanya.
Beliau berkata, projek naik taraf tapak pelupusan di Pulau Pangkor seluas 3.16 hektar pula merangkumi kerja-kerja penambakan laut terbuka bagi pembinaan tapak baharu serta penutupan sel terbuka sisa sedia ada.
“Ia juga melibatkan pembinaan struktur dan profil tapak, pemasangan sistem paip pengumpulan serta pembinaan sel aktif untuk simpanan sisa.
“Bukan itu sahaja, sebuah Loji Rawatan Leachate lengkap dengan fasiliti mekanikal dan sistem kawalan automatik (PLC) turut dibina serta penyediaan infrastruktur asas seperti bekalan elektrik, air dan jalan berturap bagi operasi tapak tersebut,” katanya.
Mengenai projek pembangunan Kompleks Parkir dan Ruang Komersial di Jalan Panglima, beliau berkata, kompleks lima tingkat yang dibina di atas kawasan hampir 0.4 hektar itu akan menempatkan 353 petak parkir, ruang komersial di aras bawah serta pusat budaya kreatif dan ruang makanan di bahagian bumbung.
“Projek ini adalah inisiatif Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) serta sebuah syarikat swasta yang melabur sebanyak RM15 juta untuk membangunkan kompleks parkir tersebut. Ini merupakan usaha menyediakan prasarana baharu kepada pengunjung terutama di kawasan tumpuan pelancong Pekan Lama yang berpotensi tinggi,” katanya. – UTUSAN