WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump sekali lagi menegaskan Washington tidak terlibat dalam serangan udara Israel terhadap Iran.
Dalam hantaran terbaharu di platform Truth Social, Trump memberi amaran sebarang tindakan balas daripada Teheran akan mencetuskan serangan tentera yang belum pernah disaksikan sebelum ini.
“Amerika Syarikat tidak terlibat langsung dalam serangan terhadap Iran.
“Namun, jika kami diserang dalam apa jua bentuk sekalipun oleh Iran, kekuatan penuh dan kuasa angkatan tentera Amerika Syarikat akan digerakkan terhadap kamu pada tahap yang belum pernah disaksikan sebelum ini.
“Bagaimanapun, kami boleh dengan mudah mencapai satu perjanjian antara Iran dan Israel, dan menamatkan konflik berdarah ini!” tulis Trump.
Kenyataan itu menyusuli beberapa wawancara media apabila Trump menegaskan Israel bertindak secara unilateral dan Washington hanya dimaklumkan selepas operasi dilancarkan.
Beliau turut memberi tempoh 60 hari kepada Teheran untuk menyambung semula rundingan nuklear yang tergendala sejak serangan tersebut.
Setiausaha Negara AS, Marco Rubio, menyokong kenyataan Trump dan menegaskan serangan itu merupakan keputusan Israel sepenuhnya tanpa penglibatan ketenteraan AS.
Namun, beliau memberi amaran keras agar Iran tidak menyasarkan mana-mana kepentingan atau anggota AS di rantau tersebut.










