MELAKA: Kor Kadet Polis (KKP) memainkan peranan penting bukan sekadar sebagai aktiviti kokurikulum semata-mata, malah menjadi ejen penting membantu pihak polis mengekang salah laku dalam kalangan pelajar sekolah.
Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, penyertaan pelajar dalam KKP boleh membentuk jati diri yang tinggi serta mendisiplinkan mereka agar tidak mudah terjebak dengan gejala negatif yang semakin meruncing.
“Kini pelajar bukan sahaja terlibat dengan masalah ponteng, buli dan vandalisme, malah ada yang mula mendekati jenayah berat seperti penyalahgunaan dadah, salah laku seks, kongsi gelap bahkan kes bunuh seperti dilaporkan dalam jurnal juvana terdahulu.
“Jadi peranan mereka akan menjadi perantara yang membantu menyampaikan maklumat penting berkaitan salah laku pelajar dan turut menyokong usaha menyebarkan kempen pencegahan jenayah kepada masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Ulang Tahun Ke-55 KKP Peringkat Negeri yang berlangsung di Dewan Mutiara Kencana, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Katil di sini, semalam.
Dzulkhairi turut menyampaikan surat penghargaan kepada lima anggota KKP atas kecemerlangan mereka.
Mereka ialah Inspektor Kadet, Mohd. Irfan Mohd. Nasir (SMK Bukit Katil), Muhammad Adib Ashraf Abd. Ghani (SMK Nyalas); Sarjan Mejar Kadet, Ahmad Nurfikri Ahmad Farouk (SMK Tun Tijah); Sarjan Kadet, Afiqah Afrina Afnizam (Sekolah Menengah Arab Al-Asyraf) dan Khairinna Farzana Huda Kamalludin (SMK Tan Sri Haji Abdul Aziz Tapa).-UTUSAN