Ramai yang sangka Pilates itu senaman yang mudah - Utusan Malaysia

Ramai yang sangka Pilates itu senaman yang mudah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUDAH menjadi lumrah bagi setiap wanita untuk mencuba pelbagai perkara yang boleh membantu dirinya kekal kelihatan cantik, mempunyai bentuk badan ideal dan sihat meskipun usia sudah menginjak naik. 

Begitu juga dengan pelakon tinggi lampai, Sasqia Dahuri yang sememangnya menjaga penampilan dirinya agar tetap kelihatan segar di kaca televisyen. 

Menurut pemilik nama lengkap Nurlisasqia Ahmad Dahuri, dia sering bersenam sekiranya mempunyai masa lapang namun, aktiviti kegemarannya pada masa kini adalah Pilates. 

“Saya seorang yang suka bersukan dan membuat kardio sejak zaman sekolah lagi. Tetapi kardio sahaja tidak mencukupi, saya sukakan senaman yang boleh mengeluarkan banyak peluh. 

“Seperti pilates, ia merangkumi segala aspek senaman yang lain di mana aktiviti itu membantu saya perbaiki banyak perkara pada tubuh badan saya. 

“Contohnya, postur badan, fleksibiliti, daya ketahanan, keseimbangan otot dan sebagainya,” katanya kepada Pancaindera. 

Selain mahu mengekalkan kesihatan tubuh badan, pelakon yang berusia 40 tahun itu mengakui aktiviti ini secara tidak langsung mengajarnya untuk menguatkan daya ketahanan mental. 

“Ramai yang sangka pilates ini satu senaman yang mudah. Tetapi sebenarnya tidak, tekniknya sahaja susah kerana mesin reformer itu mempunyai pemberat untuk mengawal keseimbangan badan.

 “Pilates juga ada pelbagai teknik seperti plank dan combat plank yang mengajar kita cara untuk menolak badan kita untuk bergerak ketika di atas reformer itu. 

“Ada juga atlet atau pemain bola walaupun sudah terbiasa bersukan masih tidak mampu untuk kekalkan keseimbangan apabila berada di atas mesin tersebut,” jelasnya.

Ditanya apa yang membuat dirinya begitu berminat dengan aktiviti tersebut, pelakon filem Misteri Dilaila itu mengakui pilates amat membantu dirinya untuk mengekalkan tubuh badan ideal. 

Malah, pelakon itu turut menyifatkan pilates dapat membantu mengurangkan sebarang kesakitan pada otot memandangkan pergerakannya mempunyai manfaat untuk setiap bahagian pada anggota badan. 

“Selepas menyertai pilates ini, saya sedar tangan dan seluruh badan saya semakin kuat. Pada awalnya, saya sendiri rasa pilates bukanlah senaman yang sesuai untuk saya. Apatah lagi saya tidak suka aktiviti melibatkan berat. 

“Pada mulanya, saya tiada ketahanan itu. Tetapi selepas beberapa kali latihan lama kelamaan saya sudah terbiasa. Malah, saya rasa aktiviti ini lebih menyeronokkan daripada senaman lain. 

“Badan juga terasa lebih segar dan segala kesakitan pada otot sebelum memulakan aktiviti itu juga berkurangan. Ini kerana pilates memang membantu untuk melegakan kesakitan pada bahagian yang tersilap postur,” kongsinya. 

Sedar kini pilates merupakan antara aktiviti yang digemari kebanyakan wanita, Sasqia mengakui kos perbelanjaannya untuk satu sesi agak mahal berbanding kelas senaman lain. 

Namun, pelakon itu lega apabila dia dapat berbelanja dengan bijak untuk aktiviti kegemarannya selepas mengetahui kewujudan aplikasi yang mampu menawarkan harga dan pakej yang berbaloi. 

“Tidak dinafikan kelas pilates ini lebih mahal berbanding kelas biasa. Tetapi bagi saya selepas sudah mencuba pelbagai jenis senaman seperti, boxing, spin, yoga dan sebagainya, saya tidak tahu apa yang saya lakukan  

“Dengan pilates ini, saya pergi sekurang-kurangnya dua kali seminggu dan hanya mengambil masa selama 45 minit untuk satu sesi. 

“Setelah selesai buat aktiviti itu saya tahu apa fokus yang saya hendak buat pada ketika itu. Saya sangat berpuas hati dan berbaloi. 

“Tetapi, saya selalu gunakan class pass untuk menyertai kelas tersebut kerana dia akan tawarkan harga yang lebih murah dan pakej yang berbaloi. Dari situ, kita boleh berbelanja dengan bijak,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN