GEORGE TOWN : Ketua Menteri, Chow Kon Yeow masih enggan mendedahkan nama individu yang bakal mengisi jawatan sebagai Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang ketika ini.
Ketika ditemui pemberita hari ini, beliau hanya memberikan jawapan yang bersifat umum dan berulang kali menyatakan bahawa urusan pelantikan itu telah pun diserahkan kepada pihak istana.
“Jawapan sama, belum ada (siapa yang bakal dilantik sebagai TYT). Memang tunggu keputusan istana. Apabila sampai kepada istana, mereka akan buat pengumuman,” katanya selepas menghadiri Sidang Kemuncak Pemerkasaan Pendidikan 2025 di sini, hari ini.
Ditanya sama ada terdapat sebarang perkembangan baharu daripada pihak istana berhubung perkara itu pula memandangkan tempoh perkhidmatan Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang bagi penggal ini akan tamat pada hujung bulan ini, Kon Yeow tetap enggan mengulas lanjut.
“Satu hari dalam dunia politik pun amat panjang,” katanya.
Sebelum ini, timbul desas-desus mengenai nama-nama calon yang bakal menjadi Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang yang baharu bagi menggantikan Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak yang dilantik memegang jawatan itu sejak 1 Mei 2021.
Antara nama yang disebut-sebut ialah bekas Menteri Besar Perak, Tan Sri Ramli Ngah Talib.
Kon Yeow pada sidang akhbar sebelum ini menjelaskan bahawa kerajaan negeri telah menyerahkan beberapa nama untuk dicalonkan sebagai Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang kepada Pejabat Perdana Menteri sebelum dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim bagi pertimbangan Seri Paduka.
Katanya, proses pelantikan jawatan itu adalah tertakluk kepada budi bicara Seri Paduka, sama ada penyandang sedia ada akan dilanjutkan atau seorang calon baharu akan dilantik. – UTUSAN