PUTRAJAYA: Sebuah kompleks sukan berprestasi tinggi bakal dibina di Presint 13, Putrajaya dalam usaha menyokong pembangunan atlet dan memperkukuh ekosistem sukan di Wilayah Persekutuan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa berkata, cadangan tersebut masih di peringkat awal namun telah dikemukakan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan mendapat maklum balas positif.
“Kita telah berbincang di peringkat pengurusan tertinggi dan dengan pihak Putrajaya Holdings yang berminat untuk bekerjasama. Lokasi di Presint 13 juga telah dikenal pasti sebagai tapak sesuai. Alhamdulillah, Perdana Menteri menyambut baik cadangan ini dan kita kini memperhalusi pelaksanaannya,” katanya selepas Majlis Penyerahan Bantuan Madani kepada Badan Sukan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya 2025 di sini hari ini.
Pada majlis tersebut, sebanyak RM278,000 bantuan Madani disalurkan kepada 77 badan sukan.
Sebelum ini, 22 badan sukan di Wilayah Persekutuan Labuan telah menerima RM56,000, menjadikan jumlah keseluruhan bantuan sebanyak RM334,000.
Zaliha turut memaklumkan bahawa perbincangan lanjut akan diadakan bersama Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS) berhubung pembangunan kompleks tersebut.
Beliau turut mengarahkan Majlis Sukan Wilayah Persekutuan (MSWP) memperkenalkan sistem penarafan bintang bagi memastikan tadbir urus badan-badan sukan sentiasa telus, cekap dan berintegriti. – UTUSAN