PETALING JAYA: Kerajaan mengambil pendekatan serampang dua mata membina kolam takungan air pelbagai guna sebagai antara usaha mitigasi banjir negara ini di samping menjadi simpanan ketika musim kemarau.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, langkah itu dapat mengurangkan kerugian akibat bencana alam itu apabila berupaya menakung jumlah air hujan yang banyak namun sama digunakan sebagai simpanan kecemasan.
“Kolam takungan ini akan digunakan sebagai simpanan air apabila berlaku kemarau, memastikan kita mempunyai sumber air.
“Air ini boleh diproses untuk bekalan pelbagai kegunaan sama ada bagi minuman, pertanian, industri dan sebagainya. Inilah antara pendekatan yang sedang kita laksanakan,” katanya ketika berucap pada majlis makan malam dan ramah mesra bersama rakyat Malaysia di United Kingdom (UK) di Suruhanjaya Tinggi Malaysia London kelmarin.
Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berada di UK untuk lawatan kerja selama tiga hari dan mengetuai delegasi Malaysia ke Sidang Kemuncak Mengenai Masa Depan Keselamatan Tenaga di Lancaster House.
Fadillah berkata, mitigasi banjir perlu dilaksanakan segera kerana perubahan iklim yang ketara ketika ini memberi kesan kepada cuaca di Malaysia seterusnya mengakibatkan pelbagai bencana alam termasuk banjir yang berpunca daripada hujan lebat.
“Fokus utama kita sekarang ialah mitigasi banjir disebabkan perubahan iklim. Ribut petir, angin kuat dan sebagainya menyebabkan jumlah air hujan yang turun dalam satu hari boleh menyamai jumlah hujan sebulan. Ada tempat yang tidak pernah banjir kini dilanda banjir.
“Kita perlu memastikan dapat mengurangkan kesan banjir kepada rakyat, kesan kerugian dari segi kewangan bukan sahaja kepada rakyat tetapi juga kepada negara kerana pernah berlaku banjir besar yang menyebabkan kerugian RM3 bilion termasuk kos pemulihan dan sebagainya,” katanya.
Selain itu, Fadillah mengulangi pendirian bahawa Malaysia komited untuk mencapai kadar 70 peratus tenaga boleh baharu menjelang 2050 dan kadar semasa adalah 28 peratus.
Dalam pada itu, Fadillah berkata, Grid Tenaga ASEAN (APG) akan menjadi tonggak yang berupaya memperkukuh jalinan kerjasama antara negara anggota.
Beliau mengambil contoh kejadian letupan gas di Putra Heights apabila insiden itu menyebabkan saluran gas terpaksa ditutup sehingga menjejaskan orang ramai dan industri.
Katanya, hasil hubungan baik dengan Thailand, negara itu telah membekalkan gas kepada Malaysia seterusnya dapat menampung dan mengurangkan kesan industri dan pengguna.-UTUSAN










