PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) akan terus mempertingkatkan penguatkuasaan dan kawal selia produk rokok elektronik dan vape menerusi Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852).
Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, penguatkuasaan menerusi akta berkenaan adalah bagi melindungi orang belum dewasa (OBD) dari terjebak dengan penggunaan rokok elekronik atau vape.
“Saya tekankan, produk rokok dan vape adalah dikawal secara rapi Akta 852 demi kesihatan awam,” katanya ketika ditemui selepas melancarkan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2024: Pemakanan di sini hari ini.
Katanya, beliau bersifat terbuka dan bersedia menyemak semula akta berkaitan rokok dan vape sekiranya terdapat keperluan atau bukti tertentu mengenai kemudaratan vape itu.
Dr Dzulkefly berkata, undang-undang dan akta tidak pernah statik sebaliknya setiap penguatkuasaan undang-undang itu hidup, dinamik dan responsif.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas gesaan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) supaya Kementerian Kesihatan (KKM) mengharamkan vape.
Jelasnya, perkara berkenaan adalah dibawah bidang kuasa negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT).
Pada Selasa, CAP sekali lagi menggesa KKM supaya melaksanakan larangan sepenuhnya terhadap penjualan vape dan rokok elektronik yang membawa pelbagai isu sosial dalam kalangan pelajar.
Gesaan ini susulan kejadian pada Isnin membabitkan seorang pelajar Tingkatan Tiga sebuah sekolah di kawasan pinggir Kangar dikejarkan ke Hospital Tuanku Fauziah selepas disyaki mengalami sawan berpunca daripada penggunaan vape.
Pemerhatian CAP juga mendapati ramai golongan muda terjebak dalam penggunaan rokok elektronik dan HTP (produk tembakau yang dipanaskan) sehingga mereka secara tidak sedar menjadi ketagih. – UTUSAN