Keutamaan tetap nyanyian – Wany Hasrita - Utusan Malaysia

Keutamaan tetap nyanyian – Wany Hasrita

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEMUNCULAN penyanyi, Wany Hasrita mengacarakan rancangan Borak Dulu Baru Buka bersama Amin Idris dan Atu Zero sepanjang Ramadan lalu menerima respons positif penonton.

Ramai yang tidak menyangka, selain berbakat dalam bidang nyanyian, Wany juga pandai melakukan kerja pengacaraan.

Tidak sedikit pun dia kelihatan kekok malah dikatakan seperti hos profesional yang bertahun-tahun pengalamannya.

Justeru, ketika bertemu Wany, saya ajukan persoalan, adakah dia sedikit demi sedikit merancang untuk beralih bidang, selepas ini bertukar menjadi pengacara sepenuh masa?

“Fokus saya tetap kepada bidang nyanyian. Tengok macam mana tahun hadapan, mungkin tumpuan untuk nyanyian lebih menyeluruh.

“ Buat masa ini, kerja mengacara ini saya ambil ketika bulan Ramadan sahaja. Saya terima jadi pengacara Borak Dulu Baru Buka kerana konsepnya sesuai dengan saya, selain pasangan hos juga serasi.

“Paling penting program itu bermanfaat kepada saya. Ada ilmu yang saya peroleh sebagai pengacaranya,” katanya.

Kata Wany lagi, dia bukanlah pengacara baharu yang baru bermula. Malah sebelum ini pernah juga mengacarakan beberapa program RTM.

Namun katanya, bukan semua tawaran ‘disapu’, lebih-lebih lagi program yang bukan dalam ruang kepakarannya.

“Contoh rancangan hiburan, mungkin kalau program seperti itu saya serahkan sahaja kepada yang pakar.

“Kita ada ramai pengacara rancangan hiburan yang bagus. Contoh Sissy Iman yang juga seorang penyanyi dan pemuzik berbakat besar.

“Jadi sebaiknya rancangan-rancangan ini serahkan kepada hos yang pakar mengendalikan,” kongsinya.

RAYA TELAH TIBA
Seperti tahun-tahun terdahulu, Wany, pada Aidilfitri kali ini, tidak ketinggalan menghadiahkan lagu Hari Raya.

Lagu hasil ciptaan komposer dan penulis lirik, Affan Mazlan dan Danish Noraz itu tidak kurang popularnya apabila menerima 1.2 juta tontonan di Youtube.

Kata Wany, lagu tersebut dicipta bukan untuk menyaingi lagu-lagu raya yang lain. Sebaliknya sekadar untuk menambah kemeriahan sambutan lebaran.

“Saya bersyukur kerana sepanjang pembabitan dalam dunia nyanyian, sudah tiga lagu Raya yang saya rakamkan.“Kali ini, saya mahukan kelainan. Kalau lagu Raya saya sebelum ini berkonsepkan tradisional, kali ini saya tampilkan yang lebih catchy dan moden.

“Boleh dikira saya lunaskan permintaan pendengar yang mahukan lagu-lagu seperti ini,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya