Ketua Pengarah Bahagian Perlindungan mohon batal sapina Najib

Ketua Pengarah Bahagian Perlindungan mohon batal sapina Najib

NAJIB TUN RAZAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Ketua Pengarah Bahagian Perlindungan Jabatan Perdana Menteri (BPJPM) memohon untuk membatalkan sapina yang dikeluarkan terhadapnya, berdasarkan permohonan dikemukakan oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Peguam Kanan Persekutuan, Nur Hidayah Raihan Md. Nasir yang mewakili Ketua Pengarah BPJPM memaklumkan perkara itu di Mahkamah Tinggi di sini, selepas bekas pegawai penyiasat 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Senior Asisten Komisioner R. Rajagopal selesai memberi keterangan.

Rajagopal memberi keterangan sebagai saksi pembelaan ke-11 sejak 24 Februari lalu.

Menurut Nur Hidayah, Ketua Pengarah BPJPM telah menerima sapina tersebut kira-kira pukul 11 pagi semalam, namun ia tidak menyatakan sebab perlu hadir ke mahkamah untuk memberi keterangan.

“Kami kemudian telah menghubungi pihak pembelaan dan mendapati mereka ingin bertanya mengenai Roger Ng Chong Hwa (bekas pegawai bank Goldman Sachs). Berdasarkan Akta Perlindungan Saksi, Ketua Pengarah terikat dengan kerahsiaan dan tidak boleh mendedahkan hal ehwal program dan pesertanya,” kata Nur Hidayah.

Memandangkan pihaknya hanya menerima sapina tersebut semalam, Nur Hidayah memohon masa untuk memfailkan permohonan rasmi bagi mengenepikannya.

Sementara itu, peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata, pihaknya terkejut apabila mengetahui bahawa Ketua Pengarah BPJPM membantah permohonan sepina itu.

“Jasmine Loo Ai Swan (peguam 1MDB) dalam program sama, saya tidak tahu mengapa mereka tiba-tiba hendak melindungi saksi yang kami berminat,” katanya. 

Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah mengarahkan agar permohonan rasmi difailkan selewat-lewatnya pada tengah hari, Jumaat ini dan diserahkan kepada pembelaan pada hari sama.

Mahkamah turut menetapkan Selasa ini untuk pendengaran permohonan tersebut.

Pada 8 Oktober 2023, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain menyatakan, Roger Ng tiba di negara ini bagi membantu siasatan pihak berkuasa berkaitan skandal 1MDB.

Pada 9 Mac 2023, Mahkamah Brooklyn, New York mendapati Roger Ng bersalah kerana membantu bekas orang atasannya, Tim Leissner menggelapkan wang 1MDB, mencuci hasil dan merasuah pegawai kerajaan untuk mendapatkan perniagaan.

Mahkamah terbabit turut menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun terhadap lelaki berkenaan, namun hukuman digantung sehingga Roger Ng selesai membantu pihak berkuasa Malaysia. 

Lelaki itu juga perlu dipulangkan semula ke Amerika Syarikat (AS) selepas siasatan selesai bagi menjalani hukuman.

Perbicaraan bersambung esok. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN