GEORGE TOWN : Kesilapan ilustrasi melibatkan Jalur Gemilang tanpa bulan sabit baru-baru ini tidak sepatutnya berlaku dan ia perlu dielakkan sama sekali pada masa akan datang kerana perkara itu membabitkan lambang kedaulatan negara.
Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, kesilapan seumpama itu boleh mencetuskan keresahan awam dan menjejaskan semangat perpaduan yang selama ini dipupuk dalam kalangan rakyat Malaysia.
“Saya rasa ia satu kejadian yang amat dikesali. Kejadian ini tidak patut terjadi di negara kita yang sudah lama menggunakan bendera ini (Jalur Gemilang).
“Saya rasa semua orang pun terkejut, bagaimana perkara seperti itu boleh berlaku? Ia adalah satu kesilapan yang tidak seharusnya berlaku,” katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri Sidang Kemuncak Pemerkasaan Pendidikan 2025 di sini, hari ini.
Sebelum ini, sebuah akhbar berbahasa Cina membuat permohonan maaf kerana menerbitkan halaman muka hadapan yang memaparkan bendera Jalur Gemilang tanpa bulan sabit mengundang kritikan dan kemarahan pelbagai pihak.
Selain itu, TCE Baby Expo turut membuat permohonan maaf susulan insiden paparan Jalur Gemilang tanpa bulat sabit di belakang pentas yang melibatkan salah satu pempamernya.
Menurut Aaron, kesilapan ilustrasi Jalur Gemilang seperti itu boleh menimbulkan ketegangan dan menjejaskan keharmonian masyarakat.
“Kesalahan seperti ini jangan diulang lagi. Ia boleh wujudkan ketidakharmonian. Kita mahukan kedamaian, perpaduan dan kestabilan demi kemajuan ekonomi dan negara,” katanya.
Tambah beliau, permohonan maaf yang telah dibuat oleh pihak terlibat merupakan langkah terbaik bagi meredakan keadaan, namun, tindakan susulan bergantung kepada pertimbangan agensi yang berkaitan.
“Mereka yang terlibat tiada pilihan, itu kesilapan yang telah dibuat. Paling baik yang mereka boleh buat adalah memohon maaf. Tetapi kalau agensi terlibat rasa perlu ambil tindakan, itu hak mereka,” katanya.
Dalam pada itu, katanya, Kementerian Perpaduan kini sedang melaksanakan kajian kali ketiga Indeks Perpaduan Nasional (IPNas) bagi menilai tahap perpaduan rakyat Malaysia.
“Kita pernah buat dua kali, ini kali ketiga. Indeks sekarang sederhana, lebih kurang 0.6. Kita sasarkan 0.7, yang menunjukkan tahap perpaduan yang selamat. Kajian ini dijalankan sekumpulan profesor dari universiti tempatan dan cara pengiraan adalah melalui kaedah tinjauan,” katanya. – UTUSAN