KUALA TERENGGANU: Kerajaan negeri tidak melayan rayuan pengusaha premis perniagaan produk rokok elektronik (Vape) di Terengganu untuk melanjutkan tempoh pelaksanaan penguatkuasaan larangan penjualan yang ditetapkan pada 1 Ogos ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Datuk Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, keputusan diambil berikutan perkara tersebut telah dipersetujui dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri pada 23 April lalu.
Katanya, sebelum itu, beliau juga telah memaklumkan berhubung cadangan pelaksanaan penguatkuasaan larangan penjualan vape untuk memberi peluang kepada pengusaha premis tersebut membuat persediaan menutup perniagaan masing-masing.
“Tempoh kira-kira tiga bulan diberikan kepada pengusaha premis perniagaan vape untuk menghabiskan stok dan mencari peluang perniagaan baharu,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia bagi mengulas rayuan peniaga produk vape supaya melanjutkan tempoh penguatkuasaan larangan penjualannya di negeri ini yang ditetapkan pada Ogos ini.
Presiden Pertubuhan Peniaga Vape Melayu Terengganu, Muhd. Kamaruzaman Mahmud mendakwa, tempoh tiga bulan yang diberikan sebelum pelaksanaan penguatkuasaan tersebut tidak mencukupi untuk peniaga menghabiskan stok produk vape.
Wan Sukairi berkata, pengusaha premis produk vape yang gagal mematuhi larangan ini akan dikenakan tindakan mengikut Undang-Undang Kecil yang digubal di bawah Akta Kerajaan Tempatan 1976 Akta 171).
Selain itu, beliau berkata, pihaknya menawarkan kursus kursus keusahawanan dan peluang perniagaan kepada peniaga vape serta pekerjanya. – UTUSAN