Kerajaan Negeri Sembilan tidak ‘buli’ ADUN pembangkang

Kerajaan Negeri Sembilan tidak ‘buli’ ADUN pembangkang

AMINUDDIN Harun (kanan) ketika menjawab soalan dalam sesi pertanyaan lisan pada Persidangan Pertama (Perasmian) Penggal Ketiga, DUN Negeri Sembilan Yang Ke-15 hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Tidak timbul isu ‘membuli’  Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang di Negeri Sembilan yang mendakwa tidak mendapat layanan dan peruntukan sama rata daripada kerajaan negeri.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, kerajaan negeri tidak pernah meminggirkan pembangunan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang diwakili wakil rakyat pembangkang kerana peruntukan tetap disalurkan melalui pusat khidmat DUN berkenaan.

Beliau menambah, kerajaan negeri juga tidak pernah mengeluarkan arahan menghalang mana-mana ADUN pembangkang daripada menggunakan kemudahan awam seperti dewan dan padang awam.

Sebaliknya ia perlu mengikut prosedur iaitu dengan permohonan dibuat kepada pihak yang menguruskan kemudahan tersebut iaitu pihak berkuasa tempatan atau pejabat daerah dan tanah.

“Setiap permohonan yang diterima perlu dinilai berdasarkan beberapa kriteria utama, termasuk tujuan penggunaan dinyatakan dengan jelas dan tidak melanggar mana-mana peruntukan undang-undang seperti Akta Perhimpunan Aman 2012, peraturan keselamatan, atau tatacara yang digariskan oleh PBT.

“Ia untuk mengelakkan pertembungan acara atau kesulitan kepada penduduk dan pematuhan terhadap syarat-syarat penggunaan seperti tidak menghasut, menyentuh isu sensitif atau mengganggu ketenteraman awam,”katanya.

Aminuddin berkata, Kerajaan Negeri Sembilan sama sekali tidak mengamalkan diskriminasi politik dalam mempertimbangkan permohonan mana-mana pihak. 

“Namun, jika terdapat permohonan yang ditolak atau ditangguhkan, ia adalah berdasarkan pertimbangan keselamatan, keperluan teknikal, atau kegagalan mematuhi garis panduan yang telah ditetapkan,” katanya pada Persidangan Pertama (Perasmian) Penggal Ketiga, Dewan Undangan Negeri, Negeri Sembilan Yang Ke-15 hari ini.

Terdahulu Kamarul Ridzuan Mohd Zain (PN-Paroi) semasa sesi pertanyaan lisan yang mendakwa ADUN pembangkang ‘dibuli’ selepas tidak diberikan peruntukan sama rata dan tidak boleh menggunakan prasarana awam.

“Ketika saya bertanding Pakatan Rakyat bersama dengan Menteri Besar dahulu, slogan kita adalah untuk cipta pembaharuan, dan apa saya lihat  dalam sistem demokrasi ini, ahli pembangkang perlu check and balance kerajaan dan kita nak ubah menjadi lebih baik. Tetapi peruntukan tidak diberi ahli pembangkang.

“Kita duduk dalam dewan, punca kuasa daripada rakyat, kita angkat sumpah dan berbincang isu rakyat, bincang belanjawan tapi peruntukan untuk ahli pembangkang tiada adakah kita mahu ikut cara lama?,”soalnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN