KUALA LUMPUR: Anggota parti diingatkan supaya membuat aduan berhubung salah laku dalam Pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) 2025 melalui saluran rasmi agar tindakan sewajarnya boleh diambil.
Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) PKR, Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa berkata, sebarang aduan yang dikemukakan akan diteliti oleh Jawatankuasa Bantahan dan Aduan JPP 2025.
Katanya, jika tiada aduan dilakukan, pihaknya tidak boleh meneliti isu yang berbangkit dan mengambil apa apa tindakan.
“Hanya melalui aduan rasmi kita boleh ambil tindakan. Jika tiada aduan atau bantahan rasmi, kita tidak boleh teliti kerana setiap aduan perlu disertakan bukti,” katanya kepada pemberita dalam Majlis Semarak Aidilfitri Bersama Rakan Media 2025 di sini, semalam.
Beliau mengulas isu calon yang meluahkan ketidakpuas hati terhadap keputusan pemilihan parti di media sosial.
Dalam perkembangan sama, Zaliha yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) memaklumkan, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan mengadakan sesi libat urus bersama syarikat pemaju dan pembeli berhubung projek pembangunan bercampur J Satine di Wangsa Maju.
Katanya, kerja-kerja pembangunan di Blok SOHO serta Blok A dan B diteruskan selepas Laporan Kemajuan Perunding Bebas bertarikh 24 Februari lepas mengesahkan struktur bangunan selamat.
Sebelum ini, DBKL menghentikan projek berkenaan berikutan insiden keretakan pada Blok C. – UTUSAN