TAPAH: Kemenangan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Ayer Kuning kelmarin adalah bukti rakyat semakin yakin terhadap kerajaan Perpaduan serta kerjasama Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH).
Pengarah Kempen PRK Ayer Kuning DAP, Howard Lee berkata, gabungan ini terbukti satu kekuatan yang mantap yang seiring dengan aspirasi rakyat yang majmuk dan harmoni.
Katanya, pilihan pengundi jelas membuktikan kepercayaan terhadap visi Malaysia Madani yang dipelopori oleh Kerajaan Perpaduan.
“Ia cerminan sokongan kolektif terhadap model pemerintahan yang mementingkan keterangkuman, kemajuan serta saling menghormati antara semua komuniti.
“Ia juga menandakan penolakan yang tegas oleh rakyat terhadap politik ekstrem etno-agama yang dimainkan oleh Pas dan PN, yang bertujuan menabur ketakutan dan perpecahan.
“Perlu ditegaskan kemenangan di Ayer Kuning bukanlah satu kes terpencil. Ia adalah kesinambungan daripada siri kejayaan dalam beberapa pilihan raya kecil yang terdahulu hasil formula perpaduan yang sama.
“Kemenangan di Mahkota, Pelangai, Nenggiri, dan Kuala Kubu Bharu membuktikan bahawa apabila perpaduan dipertahankan, rakyat membalas dengan keyakinan dan sokongan,” katanya.
Dalam PRK tersebut, BN mempertahankan kerusi DUN Ayer Kuning dengan majoriti 5, 006 selepas calonnya, Dr Mohamad Yusri Bakir mendapat 11,065 undi, mengatasi calon PN, Abdul Muhaimin Malek (6,059) manakala calon PSM, Bawani KS 1,106 undi.
Pilihan raya DUN Ayer Kuning diadakan susulan kematian wakil rakyat kawasan itu, Allahyarham Ishsam Shahruddin, 59, yang meninggal dunia akibat serangan jantung pada 22 Februari lalu.
Pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) pada 2022, Ishsam yang pertama kali bertanding berjaya memenangi kerusi DUN Ayer Kuning dengan majoriti 2,213 undi.
Lee yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timur berkata, melangkah ke hadapan, DAP Perak akan terus komited berkhidmat kepada rakyat, mempertahankan prinsip-prinsip demokrasi, dan membina Malaysia yang lebih bersatu dan terus maju dan majmuk,” katanya.
Sementara itu, bekas Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata, UMNO perlu memberikan keutamaan untuk kembali bangkit dan menjadi parti yang mendominasi arena politik pada masa hadapan selepas mengalami kekalahan teruk pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
“UMNO tidak perlu menunggu lama sebaliknya perlu mempersiap diri bagi menghadapi PRU-16 agi mengembalikan semula kewibawaan parti itu.
“Selepas saya digantung kerana dikatakan mengkritik parti dan UMNO tewas pada PRU yang lalu, saya tidak menunggu lama untuk melihat ke hadapan dan apa yang boleh dilakukan agar UMNO kembali bangkit.
“Sebagai ahli UMNO, walaupun digantung, saya mahu UMNO bangkit semula seperti dulu. Walau apa pun yang terjadi (kepada saya), saya merasa terpanggil untuk menyuntik semangat pemimpin parti bagi meneruskan perjuangan yang masih belum selesai,” katanya. – UTUSAN