Kedah perlu manfaatkan potensi bandar sempadan - Sultan Kedah

Kedah perlu manfaatkan potensi bandar sempadan – Sultan Kedah

SULTAN Sallehuddin Sultan Badlishah bertitah pada Istiadat Perasmian Pembukaan Persidangan DUN Kedah Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga DUN Kedah ke-15 di Wisma Darul Aman, Alor Setar.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah bertitah agar kedudukan strategik negeri itu yang berjiran dengan Thailand dimanfaatkan bagi merancakkan ekonomi, khususnya melalui pembangunan bandar sempadan.

Baginda bertitah, pembangunan bandar sempadan berperanan penting sebagai pemangkin kepada pertumbuhan pelbagai sektor termasuk logistik dan industri yang berupaya menarik pelabur.

“Kedudukan negeri Kedah yang berjiran dengan negara Thailand hendaklah dimanfaatkan melalui pembangunan bandar sempadan yang melibatkan pelbagai peluang ekonomi dan perniagaan rentas sempadan khususnya sebagai hub logistik dan industri. 

“Beta berharap kerajaan negeri dan agensi yang berkaitan dapat mengambil tindakan proaktif dan lebih agresif untuk membawa masuk pelabur ke kawasan Bukit Kayu Hitam Special Border Economic Zone (SBEZ),” titah baginda.

Sultan Sallehuddin bertitah demikian pada Istiadat Perasmian Pembukaan Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga DUN Kedah ke-15 di sini, hari ini.

Baginda turut menyarankan agar kawasan perindustrian yang sedia ada diperkasakan dan pada masa sama meneroka kawasan-kawasan baharu yang berpotensi untuk dimajukan. 

Dalam hal ini titah baginda, kerajaan negeri disaran merancang kawasan perindustrian baharu di daerah Bandar Baharu dengan mengambil peluang dan manfaat daripada limpahan pembangunan kawasan itu di negeri yang bersempadan dengan Kedah.

“Dengan mengambil kira konsep supply and demand (penawaran dan permintaan), kerajaan negeri dan Persekutuan hendaklah memberi tumpuan kepada penyediaan infrastruktur yang lengkap. 

“Apabila ekosistem pelaburan dapat diwujudkan, barulah pelabur berminat untuk datang ke Negeri Kedah,” titah baginda.

Justeru Sultan Sallehuddin menitahkan agar para wakil rakyat di Kedah dapat memainkan peranan membantu kerajaan negeri merancang dengan melihat kepada kekuatan negeri yang boleh dioptimumkan.

Titah baginda, usaha itu perlu sejajar dengan Pelan Pembangunan Kedah 2035 dan Gagasan The Greater Kedah demi kelangsungan ekonomi negeri dan kesejahteraan rakyat di negeri Kedah.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN