KUALA TERENGGANU: Kebergantungan Terengganu terhadap royalti petroleum semakin berkurangan sejak Pas mengambil alih pentadbiran negeri pada Mei 2018.
Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, berdasarkan rekod kewangan kerajaan negeri, purata tahunan jumlah hasil cukai dan hasil bukan cukai bagi tempoh 2008 hingga 2013 ialah RM189.1 juta.
Katanya, bagi tempoh 2014 hingga 2017 pula ialah RM234.9 juta dan jumlah itu meningkat kepada RM256 juta bagi tempoh 2018 hingga 2024.
“Kedua, purata tahunan peratusan royalti (atau Dana Khas Kerajaan Persekutuan) berbanding jumlah hasil bagi tempoh 2008 hingga 2013 ialah 83.9 peratus dan bagi tempoh 2014 hingga 2017 pula ialah 81.3 peratus.
“Namun, bagi tempoh 2018 hingga 2024, selari dengan peningkatan hasil, peratusan ini berkurang kepada 75.7 peratus yang bermaksud kebergantungan Terengganu terhadap royalti semakin berkurangan sejak 2018,” katanya dalam ucapan penggulungan di Persidangan Dewan Undangan Negeri di sini, hari ini.
Selain itu, beliau berkata, ekonomi Terengganu terus bertumbuh secara purata RM22 bilion bagi tempoh 2008 hingga 2013 dan RM31 bilion bagi tempoh 2014 hingga 2017.
Katanya, bagi tempoh 2018 hingga 2023 pula, ia terus meningkat kepada RM35.9 bilion walaupun berhadapan dengan ketidaktentuan ekonomi di peringkat global sepanjang tahun 2020 hingga 2023 akibat pandemik COVID-19 dan perang.
Namun, beliau menegaskan tidaklah bermaksud untuk membandingkan-bandingkan dengan mana-mana pemimpin kerajaan parti lain sebelum ini. –
Sementara itu, beliau mengesyorkan satu penambahbaikan dilakukan terhadap sistem federalisme supaya kerajaan negeri tidak terlalu bergantung kepada Persekutuan.
Beliau berkata, Malaysia lebih cenderung mengamalkan centralized federalisme yang telah meletakkan kuasa kerajaan Persekutuan lebih luas dan besar dari sudut bidang kuasa dan sumber kewangan.
Katanya, sistem itu membuka ruang dan boleh dimanipulasi melalui tekanan ke atas kerajaan-kerajaan negeri yang dipimpin oleh parti yang tidak sehaluan dari segi politik dengan kerajaan di peringkat Persekutuan.
Oleh itu, beliau berkata, sudah tiba masanya untuk Malaysia melaksanakan perubahan, contohnya daripada centralized federalisme kepada co-operative federalisme.
“Pendekatan co-operative federalism bukanlah suatu konsep baharu bahkan telah terbukti keberkesanannya di negara-negara yang mengamalkan sistem persekutuan secara lebih matang.
“Prinsip kerjasama itu adalah seperti memaksimumkan penyelarasan satu-satu keputusan dengan matlamat dan objektif kerajaan negeri, meminimumkan birokrasi dan kos pentadbiran serta meminimumkan sebarang sekatan yang boleh menghalang usaha kerajaan negeri untuk berpartisipasi dalam apa jua bentuk kerjasama yang ada.
“Melalui pendekatan ini juga, kerajaan negeri dapat memainkan peranan yang lebih besar dalam menentukan keutamaan pembangunan negeri masing-masing, berdasarkan keperluan setempat,”– UTUSAN