SUBANG JAYA: Tiga paip sepanjang 16 meter telah berjaya dikeluarkan dari lokasi kejadian letupan paip gas di Jalan Putra Harmoni, Putra Heights, namun satu lagi paip sepanjang lima meter masih perlu dibawa keluar untuk dianalisis.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, kerja-kerja penggalian kini hampir selesai dengan kedalaman mencecah 16 meter dari permukaan jalan.
Bagaimanapun, pengambilan spesimen terakhir dijangka mengambil masa sekitar seminggu lagi sebelum siasatan lokasi dilengkapkan sepenuhnya.
Menurut beliau, laporan penuh akan dikeluarkan oleh Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) selepas selesai ujian serta analisis struktur tanah oleh Jabatan Mineral dan Geosains.
“Selepas semua siasatan selesai, tapak kejadian akan diserahkan kepada Petronas untuk proses pemulihan yang dijangka mengambil masa beberapa bulan,” katanya kepada pemberita selepas meninjau kawasan kejadian di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Hussein berkata, faktor cuaca yang tidak menentu menjadi cabaran utama sepanjang kerja-kerja siasatan dijalankan sejak kejadian berlaku pada 1 April lalu.
Katanya, dalam tempoh 28 hari siasatan, sebanyak 20 hari daripadanya adalah hujan, sekali gus menjejaskan kelancaran kerja penggalian.
“Setiap kali hujan, kerja siasatan perlu dihentikan sementara. Kita memerlukan hampir setengah hari untuk mengepam keluar air bertakung dalam kawah sebelum boleh menyambung semula kerja-kerja penggalian.
“Keadaan tanah yang tidak stabil akibat hujan turut menjadi faktor yang melambatkan operasi,” katanya.
Dalam tinjauan Utusan Malaysia di lokasi kejadian mendapati kerja-kerja mengeluarkan baki paip yang terjejas di kawah dengan diameter 40 meter itu sedang dijalankan pihak berkuasa.
Keadaan tanah lembut ekoran hujan lebat hampir setiap hari menyukarkan kerja-kerja mengorek.
Kira-kira 30 minit selepas sidang akhbar berakhir, hujan lebat di lokasi kejadian selama satu jam menyebabkan kawah sedalam 16 meter tersebut dipenuhi air. – UTUSAN