Kastam rampas ganja RM20 juta di KLIA

Kastam rampas ganja RM20 juta di KLIA

AHMAD Taufik Sulaiman (tiga kanan) menunjukkan ganja yang dirampas di Kompleks Kastam Kargo KLIA. – UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) merampas ganja yang disembunyikan dalam bungkusan makanan haiwan dianggar bernilai RM20.57 juta di Zon Perdagangan Bebas Lapa­ngan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), bulan lalu.

Pemangku Penolong Ketua Pengarah Kastam JKDM Zon Tengah, Dr. Ahmad Taufik Sulaiman berkata, berdasarkan maklumat risikan, sepasukan anggota Bahagian Penguatkuasaan Zon Tengah Unit III KLIA menjalankan pemeriksaan di terminal kargo udara.

Katanya, hasil pemeriksaan mendapati dagangan itu mengandungi bahan disyaki ganja seberat 210 kilogram.

“Kita percaya dadah itu cuba diseludup dari salah sebuah negara Asia Tenggara dan transit di Malaysia, sebelum dihantar ke destinasi terakhir iaitu Eropah,” katanya dalam sidang akhbar di sini semalam.

Menurutnya, barangan yang dirampas itu diikrar sebagai beberapa dagangan seperti makanan ringan, pakaian lusuh terpakai, kasut sukan, barangan daripada kapas, makanan haiwan peliharaan, produk makanan berperisa serta tumbuhan.

Katanya, sebahagian daripada dagangan yang diikrar itu memang benar adalah kasut dan pakaian lusuh, namun bungkusan makanan haiwan peliharaan dan makanan ringan itu diisi dengan dadah disyaki ganja ini.

“Setakat ini tiada penahanan dibuat dan kes masih dalam siasatan di bawah Seksyen 39(B)(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN