KUALA LUMPUR: Kerajaan sebelum ini perlu bertanggungjawab terhadap isu pembangunan semula isu pengambilan tanah Kampung Sungai Baru membabitkan 67 unit rumah teres dan 14 blok pangsapuri.
Pengerusi Pertubuhan Pergerakan Kebajikan Masyarakat Kuala Lumpur, Hussen Zulkarai berkata, malah bekas Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Rina Mohd. Harun juga digesa memberikan penjelasan berhubung status sebenar projek tersebut yang masih terbengkalai.
Katanya, projek pembangunan semula yang melibatkan pemindahan penduduk itu telah dibangkitkan sebelum ini.
“Selepas Pilihan Raya Umum ke-14, pemaju muncul semula dengan tawaran baharu, namun hingga kini tiada pembangunan dijalankan.
“Malah, keadaan kampung kini ibarat ‘rumah hantu’ dengan ketiadaan elektrik, air atau sistem paip, dan banyak rumah terbiar.
“Sehingga kini projek pembangunan masih belum direalisasikan sepenuhnya, malah menimbulkan pelbagai kesan kepada penduduk asal,” katanya ketika sidang akhbar di Kampung Sungai Baru, di sini hari ini.
Namun bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini menafikan dakwaan beliau bertanggungjawab membuat keputusan berhubung pengambilan tanah Kampung Sungai Baru.
Menurut Ahli Parlimen Pagoh itu, keputusan berkaitan pengambilan tanah tersebut dibuat di bawah Akta Pengambilan Tanah 1960 dan tidak melibatkan dirinya sebagai Perdana Menteri pada ketika itu.
Hussen turut mempersoalkan peranan beberapa pemimpin yang terlibat dalam pentadbiran terdahulu dan mendakwa mereka tidak memberikan penjelasan sewajarnya kepada penduduk.
“Pihak yang pernah berada dalam kerajaan sebelum ini perlu tampil menjelaskan apa sebenarnya yang berlaku.
“Jangan hanya mendiamkan diri. Penduduk berhak tahu kenapa projek ini gagal dan siapakah yang bertanggungjawab,” tegasnya.
Hussen juga turut menasihatkan penduduk supaya melantik peguam sebagai wakil sah bagi berurusan dalam isu ini secara profesional dan mengikut saluran undang-undang.
“Kami NGO tidak ada kuasa seperti pemaju atau wakil rakyat. Penduduk perlu bertindak bijak dan melantik peguam yang berkelayakan untuk bela hak mereka.
“Ini bukan soal politik, tetapi soal masa depan mereka yang kini terkesan akibat projek yang gagal dilaksanakan,” katanya.– UTUSAN