TAPAH: Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menafikan hubungannya dengan ADUN Sungai Manik dari Bersatu, Datuk Zainol Fadzil Paharudin bermasalah.
Menurutnya, Zainol Fadzil merupakan sahabat karib dan kawan politik beliau yang paling lama.
“Antara kawan politik saya yang paling lama ialah Zainol Fadzi. Kalau ada di luar sana mengatakan kami ada masalah, saya nak mengatakan secara jelas beliau adalah sahabat karib saya, kami tidak bermasalah.
“Mungkin ada masalah dari segi miscommunication atau lack of miscommunication tapi kalau nak kata kami bermasalah, tidak. Kami tak ada masalah.
“Kami berkawan lama, kami akan dapat teruskan dengan baik demi memastikan PN dan Bersatu kembali jadi kerajaan selepas PRU-16,” katanya.
Semalam, Ahmad Faizal atau Peja mengesahkan menghantar surat permohonan kepada Speaker DUN Perak untuk menukar tempat duduk Zainol Fadzi Paharudin di blok pembangkang dalam DUN negeri.
Ini selepas Zainol Fadzi meletak jawatan Setiausaha Bersatu pada Mac lalu. – UTUSAN