PERNAH bekerjasama menerusi lagu Rewang Raya lapan tahun lalu, penyanyi, Noraniza Idris masih menyukai gaya dan idea yang diketengahkan Mimi Fly menerusi lagu yang dihasilkan.
Menurut Noraniza yang mesra disapa Kak Ani, Mimi Fly atau Shamimi Amalina Norisham, 39, mempunyai kemahiran dalam menghasilkan rentak dan lirik rap yang bagus. Ratu etnik kreatif itu menyifatkan hasil kerja Mimi seperti air yang mengalir.
Oleh itu, kak Ani berharap agar penyanyi Angkat itu akan kembali berkolaborasi untuk menghasilkan sebuah lagu terbaharu untuknya.
“Saya sedang mencari lagu baru, rujukan itu sudah ada cuma sedang mencari komposer yang betul. Saya suka lagu Mimi Fly, ia termasuklah lagu Rewang Raya yang dahulu saya saya berduet dengannya.
“Ketika itu saya beri kelonggaran untuknya buat apa sahaja di bahagian rap. Apa yang ada dalam dirinya terus mengalir. Dari situ saya tahu dia seorang yang hebat dengan hasil lirik rap yang menaril.
“Cuma saya masih mahu terikat dengan genre tradisional dan etnik kreatif. Kalau genre lain takut saya tidak mampu.
“Kalau jadi saya kurus tiga bulan lagi, saya nak jadi Mimi Fly kedua,” katanya berseloroh ketika ditemui Utusan Malaysia baru-baru ini.
Bukan itu sahaja, menurutnya lagi, pendekatan Mimi menggunakan bahasa isyarat dalam video muziknya perlu diberi pujian dan boleh meraih pengiktirafan rekod dunia sekiranya benar-benar diberikan perhatian.
“Bahasa isyarat dibuat Mimi Fly sangat bagus, saya siap syorkan ada satu program khas untuk jadikan ia sebagai pemegang rekod dunia. Saya percaya dia boleh lakukannya lebih-lebih lagi namanya sedang meletup.
“Cuma, dia kena cari ruang untuk tarik semua peluang. Dia pula seorang komposer.
“Saya mahu sangat Mimi berada di tahap itu, kalau dia tak tahu macam mana nak buat, tidak mengapa saya buatkan.
“Saya sanggup buat. Sayang jika inisiatif bahasa isyarat ini didiamkan. Kemudian kita kolaborasi dengan dengan negara-negara luar seperti di ASEAN. Dia boleh buat semasa hari kebangsaan,” tambahnya.
Bakal mengadakan konsert percuma iaitu Konsert Eh Raya 2025 di Summit USJ pada 26 April ini, Noraniza berhajat mengundang Mimi Fly untuk kembali memeriahkan dan menghidupkan semula lagu Rewang Raya kepada khalayak.
Sayangnya, Mimi berangkat ke Singapura atas urusan kerja. Namun begitu, penyanyi Ngajat Tampi itu berjanji memberikan persembahan terbaik sepanjang dua jam di pusat beli-belah itu nanti.
“Hasrat nak panggil Mimi Fly sekali sebab lagu Rewang Raya saya nyanyi dengan dia. Sekarang dia tengah popular ingat nak tarik dia sebagai ‘sajian’ tapi dia ke Singapura,” katanya.
Konsert yang bakal menggabungkan sketsa, tarian dan nyanyian itu turut diserikan dengan kehadiran penyanyi seperti Azmir Arif, Helmi Gimmick dan Siti Sarah.
Penonton akan disajikan dengan persembahan lagu-lagu raya penuh nostalgia diiringi oleh lebih 60 penari daripada Noraniza Idris Dance Academy (NIDA TARI).