PETALING JAYA: “Kalau ada berita baik,saya beritahu.”
Demikan jawapan pelakon, Fattah Amin menjawab spekulasi berkenaan kehadiran pemilik syarikat hiasan dalam dan perancang perkahwinan, Reka Teemor sewaktu majlis rumah terbuka yang diadakan baru-baru ini.
Menurut Fattah atau nama sebenarnya, Abdul Fattah Mohd Amin, 34, kehadiran perunding perkahwinan terkenal itu tidak membawa sebarang maksud tersirat, sebaliknya mereka hadir sebagai kenalan lama yang pernah bekerjasama dengannya sebelum ini.
“Mereka adalah kenalan lama saya dan juga pengurus. Jadi sempena sambutan rumah terbuka ini saya jemput klien yang pernah atau sedang saya bekerjasama untuk hadir.
“Saya juga ada mengajak kenalan dan peminat untuk memeriahkan acara ini,” katanya ketika ditemui di Majlis Rumah Terbuka anjurannya yang diadakan di Ruang Rama, Petaling Jaya.
Dalam pada itu, Fattah turut berkongsi berkenaan hubungan baik keluarganya dan keluarga penyanyi, Amira Othman menjadi semakin akrab selepas beberapa kali bertemu.
“Selepas beberapa majlis, keluarga kami sudah saling mengenali. Saya pun dah kenal keluarga Amira, begitu juga dengan dia.
“Rasanya tidak salah sebab perkara itu dapat mengeratkan hubungan silaturrahim antara keluarga,” katanya.
Mengulas mengenai dakwaan yang dia bakal kembali bergelar suami, Fattah tidak memberi sebarang komen dan berharap semua pihak mendoakan yang baik-baik sahaja buat dirinya.
“Kalau ada apa-apa berita, saya beritahu rakan media,” katanya.
Difahamkan, spekulasi tersebut mula tercetus apabila pemilik Rekateemor memuat naik gambar bersama Amira Othman di Instagram Story (Igs) miliknya, beserta kapsyen ‘vibing to the next step’, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai berita gembira yang bakal dikongsikan.