Juneyao lancar laluan penerbangan terus Shanghai-KL

Juneyao lancar laluan penerbangan terus Shanghai-KL

SYARIKAT penerbangan dari China, Juneyao Airlines dijangka melancarkan laluan penerbangan terus baharu antara Shanghai dan Kuala Lumpur bermula 28 Jun ini, sekali gus memperkukuh jaringan udara antara China dan Malaysia.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Syarikat penerbangan dari China, Juneyao Airlines, secara rasmi akan melancarkan laluan penerbangan terus baharu antara Shanghai dan Kuala Lumpur bermula 28 Jun ini sekali gus memperkukuh jaringan udara antara China dan Malaysia.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif negeri, Wong Hon Wai berkata, laluan baharu itu melengkapkan laluan pelancongan dua hala antara Shanghai ke Pulau Pinang dan Shanghai ke Kuala Lumpur.

“Laluan ini menjadi satu rangkaian pelancongan strategik yang memberi fleksibiliti maksimum kepada pelancong dari China.

“Dengan sambungan ini, pelancong boleh memilih sama ada untuk tiba di Shanghai dan mendarat di Pulau Pinang, kemudian ke Kuala Lumpur sebelum pulang ke Shanghai atau sebaliknya. Ini membentuk satu corak perjalanan yang komprehensif dan efisien,” katanya di sini, hari ini.

Menurut Hon Wai, pelancaran laluan baharu itu juga menyokong pembangunan sistem hab berkembar antara Pulau Pinang dan Kuala Lumpur yang memperkukuh kedudukan kedua-dua bandar itu sebagai pintu masuk pelancongan utama ke Malaysia.

Katanya, tarikan budaya dan sejarah Pulau Pinang melengkapi pengalaman bandar metropolitan Kuala Lumpur, menjadikan pakej lawatan ke Malaysia lebih lengkap dan menarik kepada pelancong China.

“Penerbangan terus ini berpotensi menggandakan jumlah pelancong dari China, selain mengukuhkan peranan Pulau Pinang sebagai hab serantau dan mempererat kerjasama antara negeri,” katanya.

Tambah beliau, Juneyao Airlines merupakan antara tiga syarikat penerbangan yang memilih Pulau Pinang sebagai destinasi pertama mereka di Malaysia setakat ini selain Flydubai dan Hong Kong Express.

“Setakat Februari 2025, Pulau Pinang telah menerima sebanyak 14 penerbangan terus seminggu dari Shanghai dengan peningkatan ketara ketibaan pelancong China yang kini menjadi pasaran sumber kedua terbesar negeri itu.

“Rangkaian luas Juneyao Airlines juga membolehkan sambungan mudah ke destinasi popular lain seperti Jepun, Korea Selatan dan bandar utama Eropah serta meningkatkan kemudahan perjalanan bagi rakyat Malaysia,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya