PETALING JAYA: Jemaah Haji Malaysia memperoleh satu lagi keistimewaan apabila kad Nusuk untuk pengesahan melaksanakan rukun Islam kelima itu diberikan kepada mereka sebelum berlepas ke tanah suci.
Ia diserahkan kepada 284 jemaah haji kumpulan penerbangan pertama yang berlepas ke Madinah awal pagi tadi. Mereka tiba pukul 7.50 pagi esok (waktu tempatan) di Lapangan Terbang Antarabangsa Putera Mohamad bin Abdulaziz di Madinah.
Tahun lepas, kad Nusuk diserahkan di Mekah menjelang Wukuf, namun tahun ini ia diagihkan lebih awal bagi memudahkan pergerakan jemaah.
Kad berkenaan adalah kad pengenalan rasmi yang diperkenalkan oleh Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi bagi semua jemaah haji dari seluruh dunia.
Ia turut memudahkan petugas dalam menentukan identiti setiap jemaah apabila dilengkapi dengan ciri pelbagai fungsi untuk memudahkan proses mengerjakan haji selain mengelakkan orang ramai terlibat dalam penipuan haji.
Gabungan ciri-ciri keselamatan yang dipertingkatkan dan pangkalan data yang komprehensif menjadikan kad Nusuk sangat sukar untuk ditiru bagi tujuan salah guna oleh mana-mana syarikat penyedia perkhidmatan haji.
Ketua Rombongan Haji Tabung Haji, Mohd. Hisham Harun berkata, kad Nusuk diterima Malaysia mempunyai pelbagai ciri keselamatan digital seperti kod QR dan data biometrik yang berkaitan dengan maklumat peribadi jemaah haji.
Jelasnya, ciri-ciri keselamatan kad Nusuk tahun ini juga telah dipertingkat berbanding tahun lalu selain dipautkan terus dengan sistem maklumat haji Arab Saudi melalui aplikasi Nusuk.
“Ia disambungkan ke sistem pengurusan haji Kerajaan Arab Saudi. Integrasi ini memastikan kad tersebut dipautkan dengan pangkalan data yang mengesahkan identiti dan status jemaah, yang tidak dapat dengan mudah dipalsukan atau ditiru.
“Cubaan untuk meniru kad Nusuk dianggap sebagai aktiviti jenayah di bawah undang-undang negara Malaysia dan Arab Saudi, yang boleh mengakibatkan tindakan undang- undang yang berat,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Mengulas inisiatif itu pada 22 April lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar berkata, ia bukti kerjasama baik antara kerajaan Arab Saudi dan Malaysia.
Mohd. Hisham berkata, laporan polis boleh dibuat untuk membolehkan siasatan dijalankan dan tindakan lanjut akan diambil oleh TH bergantung kepada hasil siasatan tersebut.
“TH akan memaklumkan kepada pihak berkuasa Arab Saudi sekiranya terdapat pemalsuan kad Nusuk bagi menghalang kemasukan jemaah tersebut. Ia sebagai komitmen Kerajaan Malaysia dan TH demi memastikan pematuhan undang-undang bagi setiap urusan haji jemaah Malaysia.
“Pihak pengurusan aplikasi Nusuk Kerajaan Arab Saudi menegaskan bahawa tindakan undang-undang yang dinyatakan dalam Undang-Undang Anti-Jenayah Siber Kerajaan Arab Saudi akan dikenakan sekiranya berlakunya sebarang tindakan memadam data daripada aplikasi tersebut, memusnahkan, mengubah, membocorkan, atau menerbitkan semula data berkenaan.
“Pengurusan aplikasi (Nusuk) kerajaan Arab Saudi juga berhak menamatkan akaun jemaah sekiranya berlaku penyalahgunaan,” katanya. – UTUSAN